Sektor teksti...

Sektor tekstil Pakistan berusaha untuk bangkit semula

FAISALABAD – Tatkala Pakistan beransur-ansur keluar daripada krisis tenaga jangka panjang, sektor tekstil yang melambung pada satu ketika dahulu sedang berebut-rebut untuk berpulih – namun kos tenaga yang tinggi dan tewas kepada pesaing selama satu dekad bermakna pemulihan adalah tidak terjamin. Pengeluaran tenaga amat meleset selama lebih 10 tahun disebabkan pelaburan yang amat kurang, ketidakcekapan dalam rangkaian tenaga dan kegagalan mengutip pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos.

Ia memberi kesan yang teruk kepada pengeluar lebih-lebih lagi sektor tekstil, yang menggaji 30 peratus daripada penduduk bekerja. Pakistan adalah negara pengeluar kapas keempat terbesar di dunia tetapi bekalan elektrik dan gas yang putus tidak habis-habis telah menghalang pengeksport daripada memenuhi tempahan mereka mengikut jadual.

Ramai telah melihat tanpa boleh berbuat apa-apa tatkala pelanggan mereka beralih kepada Vietnam atau Bangladesh. Satu pertiga daripada kapasiti pengeluaran sektor telah lenyap, beribu-ribu kilang telah ditutup, dan kebanyakan yang lain beroperasi di bawah kapasiti penuh, kata Rehan Bharara, bekas pemilik alat tenun yang kini mengurus projek infrastruktur awam untuk industri tekstil.

Selalunya, “kami terpaksa mengendali kilang kami menggunakan penjana diesel, yang amat mahal. Kami memutuskan untuk menutup kilang daripada mengalami kerugian setiap hari,” kata beliau. Hanya pengeluar yang melabur dengan banyak dalam pengeluaran tenaga mereka sendiri yang mampu bertahan.

Ia termasuklah kilang yang dikendalikan oleh syarikat Sadaqat, yang menyediakan linen rumah kepada peruncit Barat seperti Debenhams, Tesco dan Target. Bekalan tenaga ke jabatan percetakan, memotong dan menjahit dilakukan secara bergilir-gilir mengikut keperluan.

Pakistan adalah negara pengeluar kapas keempat terbesar di dunia tetapi bekalan elektrik dan gas yang putus tidak habis-habis telah menghalang pengeksport daripada memenuhi tempahan mereka mengikut jadual. – AFP
Pakistan adalah negara pengeluar kapas keempat terbesar di dunia tetapi bekalan elektrik dan gas yang putus tidak habis-habis telah menghalang pengeksport daripada memenuhi tempahan mereka mengikut jadual. – AFP
Kemajuan sektor tekstil di Pakistan masih belum bebas daripada sebarang risiko. – AFP
Kemajuan sektor tekstil di Pakistan masih belum bebas daripada sebarang risiko. – AFP

“Kami mempunyai tiga sumber elektrik: yang paling murah dan paling utama adalah penghasilan menerusi gas, jika kami tidak mempunyai gas, kami pergi ke Wapda (utiliti awam), jika Wapda ditutup, kami pergi ke penjana diesel,” kata pengerusi Muktar Ahmed. “Saya tidak mempunyai pilihan. Jika saya berhenti menghasilkan elektrik, kami akan kehilangan pelanggan kami.”

Kilang yang lebih kecil, terutamanya beratus ribu bengkel tenunan kapas, kekurangan penjana tambahan dan bergantung pada rangkaian awam.

“Tidak ada kuasa, tidak ada gaji”

Setiap kali bekalan elektrik terputus, kerja-kerja tergendala. “Kami pekerja tenunan hanya dibayar sekiranya terdapatnya elektrik dan alat tenun berfungsi. Jika tidak adanya bekalan elektrik, tidak adanya gaji,” kata Mohammad Rizwan, penenun berusia 21 tahun. Kerajaan telah berjanji akan menamatkan pemotongan bekalan elektrik pada tahun 2018, dan berkata industri tersebut akan diberi keutamaan.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, pengeluar terbesar di Faislabad telah dibekalkan elektrik tanpa gangguan. “Kuncinya adalah mereka memberikan kami bekalan elektrik selama 24 jam sehari,” kata Wahid Raamay, pengerusi Majlis Pemilik Alat Tenun di Faisalabad.

Memandangkan bekalan elektrik negara telahpun meningkat, bil import gas asli telah naik dengan kos tambahan diberikan kepada pengguna. – AFP
Memandangkan bekalan elektrik negara telahpun meningkat, bil import gas asli telah naik dengan kos tambahan diberikan kepada pengguna. – AFP

Meskipun perkembangan penting dicatat, tekstil masih belum bebas daripada risiko. Memandangkan bekalan elektrik negara telahpun meningkat, bil import gas asli telah naik dengan kos tambahan diberikan dibebankan kepada pengguna. Bharara menganggarkan kos elektrik telah bertambah dua kali ganda dalam tempoh lapan tahun, daripada enam rupee setiap kilowatt/jam kepada 11 rupee.

Ia masih lebih rendah daripada 26 rupee setiap kilowatt jam untuk elektrik yang dihasilkan oleh penjana diesel, namun lebih daripada kos di negara pesaing. “Pada masa ini kami sedang bergelut untuk memberikan kuasa kompetitif,” akui Muhammad Salim Bhatti, pengurus besar syarikat pengagihan elektrik bandar. “Lama kelamaan, kami akan menjadi lebih murah apabila kilang tenaga baru menjadi lebih efisien,” beliau berharap. “Kami akan berada dalam kedudukan untuk bersaing.”

Namun Bank Pembangunan Asia kurang optimistik, memetik ketidakpastian pelaburan China secara besar-besaran dalam infrastruktur tenaga negara.

“Elektrik yang dijangka dihasilkan oleh kilang tenaga yang dibina oleh China dijangka mahal,” katanya, walaupun ia menjangka ia masih lebih murah daripada kilang termal yang dijangka diganti oleh mereka.

Pada akhir Disember, kilang tenaga nuklear keempat Pakistan mulai beroperasi, dibina dengan bantuan China sebagai sebahagian daripada rancangan Islamabad untuk menghasilkan 8,800 MW daripada tenaga nuklear menjelang tahun 2030. Sementara itu, jumlah eksport, di mana 60 peratus daripadanya terdiri daripada tekstil, merosot sebanyak 13 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun ini berbanding dengan tahun lalu, satu petanda pemulihan industri masih belum bermula. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA