Sektor tenaga, perkapalan dijangka paling teruk terjejas

Sektor tenaga, perkapalan dijangka paling teruk terjejas

BEIJING, 18 Dis (Bernama) – Sektor tenaga, perkapalan dan keluli di Asia Pasifik dijangka paling teruk terjejas akibat kelembapan pertumbuhan China yang ketara, kata Fitch Ratings.

Lebih memburukkan keadaan, kata agensi penarafan global itu, unjuran semasa bagi sektor keluli, tenaga dan perkapalan Asia Pasifik itu sememangnya negatif.

Dalam satu kenyataan hari ini, Fitch berkata impak itu turut melibatkan sektor perusahaan dan teknologi Asia, berdasarkan skala permintaan China serta kedudukannya dalam rantaian bekalan serantau.

Fitch bagaimanapun berpendapat bahawa China tidak akan mengalami kesan merudum berikutan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan perlahan kepada 6.3 peratus dan 6 peratus masing-masing bagi 2016 dan 2017.

Namun, beberapa risiko tetap wujud disebabkan langkah mengimbangkan semula struktur yang menyaksikan kelembapan pertumbuhannya jauh lebih pantas daripada unjuran awal.

Agensi penarafan itu turut menilai andaian impak senario ekonomi China akan mengalami kelembapan secara ketara dalam tempoh tiga tahun sehingga akhir 2018 yang menjejaskan pelaburan serta penggunaan.

Pertumbuhan KDNK China akan jatuh kepada purata 2.3 peratus setahun daripada tempoh 2016-2018, katanya.

“Kelembapan di China akan memberi impak ketara terhadap pertumbuhan global.

“Negara-negara Asia Pasifik yang mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan besar dengan China termasuk Hong Kong, Singapura, Korea, Taiwan dan Jepun, adalah yang paling berisiko terjejas,” katanya.

Harga komoditi global akan terus rendah dalam tempoh lebih lama manakala eksport dan sektor berkaitan dagangan akan merasai kesan ketara dari segi prestasi kewangan dan profil kredit, katanya.

Menurut Fitch, pengeluar jentera berat, mesin dan syarikat perkapalan pukal kering Asia Pasifik juga terjejas akibat kejatuhan mendadak permintaan dan pertumbuhan pelaburan China.

“Ia turut memberi impak lebih meluas apabila perdagangan serantau akan merosot secara ketara.”

Bahan kimia, bijih serta mineral adalah antara kategori eksport negara-negara Asia Pasifik ke China manakala pengeluar barangan pengguna seperti pembekal peralatan telekomunikasi dan pejabat juga tidak terkecuali merasai tempias kelembapan di China.

Menurut Fitch, jika pertumbuhan permintaan pengguna China terus suram, pendapatan dan margin firma teknologi domestik turut mengalami tekanan.

Penularan kesan permintaan global akibat kelembapan di China turut menjejaskan firma teknologi serantau berikutan kedudukan utama China dalam rantaian bekalan Asia Pasifik.

China mengimport komponen elektronik dalam jumlah besar daripada rantau Asia Pasifik dan mengeksport produk akhir berkenaan.

“Jika pertumbuhan permintaan pengguna global terus merosot secara ketara, ia mungkin akan meningkatkan persaingan harga antara pengeluar,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA