Sektor ternakan diutamakan

Sektor ternakan diutamakan

BANGKOK, 23 Julai – Negara anggota ASEAN dengan kerjasama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sedang memuktamadkan pelan strategik tindakan ASEAN untuk sektor ternakan 2016-2020.

“Kami jangka dalam tempoh 10 tahun lagi majoriti negara ASEAN akan berstatus negara berpendapatan sederhana dan ini bermakna permintaan terhadap daging, susu dan telur akan meningkat dengan pantas. Kami jangka permintaan tumbuh 40 peratus menjelang 2025.

“Dalam proses integrasi ekonomi ASEAN, perkumpulan perlu mengharmonikan dasar perdagangan antara negara anggota dan luar ASEAN serta rangka kerja kawal selia bagi sektor ternakan,” kata Penolong Ketua Pengarah FAO dan Perwakilan Serantau, Hiroyuki Konuma dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata terdapat banyak cabaran pada masa depan terutama kesan perubahan iklim terhadap pengeluaran ternakan.

“Kita berdepan dengan ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat dan bencana alam, justeru kita harus mempertimbangkan bagaimana situasi ini mempengaruhi pengeluaran makanan,” katanya.

Menurutnya ramalan terkini menyatakan perubahan iklim mula menjejaskan pengeluaran secara serius selepas 2030.

“Kita tidak tahu sejauh mana kesannya dan jangkaan paling buruk ialah tanah pertanian mungkin menyusut 30 hingga 40 peratus menjelang 2080.

“Jika ini berlaku, sektor pertanian akan terjejas teruk secara keseluruhannya, justeru kita perlu menyediakan dasar dan langkah yang boleh diguna pakai,” kata Konuma.

ASEAN juga perlu memberi respons kepada penyakit-penyakit haiwan, katanya.

Konuma menegaskan FAO sentiasa bersedia untuk menyokong negara ASEAN dalam mempromosi sektor ternakannya, bukan sekadar menangani peningkatan permintaan tetapi juga membantu sektor menyumbang dalam meningkatkan status pemakanan penduduk, pendapatan dan pekerjaan isi rumah dengan menghubungkan mereka kepada rantaian nilai dan pasaran. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA