Sel solar perovskit alternatif sel solar silikon?

Sel solar perovskit alternatif sel solar silikon?

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Universiti Brunei Darussalam (UBD) menerusi Fakulti Sains (FOS) dengan kerjasama Centre for Advanced Material Science (CAMES) akan menganjurkan kuliah awam mengenai sel solar perovskit yang akan berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, esok.

Dalam kuliah tersebut, Profesor Pelawat, Mohd. K. Nazeeruddin akan membincangkan tajuk ‘Sel Solar Perovskit: Sebagai Alternatif kepada Sel Solar Silikon?’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bahan-bahan perovskit yang digunakan dalam sel-sel solar melibatkan bahan kos rendah, boleh diproses menerusi pelbagai metode pada kaca atau substrate fleksibel untuk memberikan kecekapan penukaran berkuasa tinggi, berbanding sel solar lapisan nipis.

Dalam kuliah ini, Profesor Nazeeruddin akan membincangkan sifat-sifat kimia dan prospek untuk bahan perovskit dalam penghasilan besar-besaran bagi pelbagai pasaran penggunaan daripada sel solar, pengesan, optoelectronic hingga pencahayaan.

Kuliah tersebut dibukakan kepada orang ramai terutamanya ahli-ahli akademik dalam bidang pengajian tenaga, pegawai-pegawai dan profesional dalam sektor tenaga dan kepada mereka yang berminat dalam bidang alternatif tenaga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam lawatan selama dua hari sebagai profesor pelawat, Profesor Nazeeruddin akan melawat makmal-makmal penyelidikan di Jabatan Fizik serta CAMES untuk bertemu para penyelidik UBD.

Profesor Nazeeruddin mengajar kursus ‘Functional Materials’ di École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL), Switzerland, malah merupakan pengarah dan pengurus beberapa projek perindustrian, kebangsaan dan Kesatuan Eropah.

Dalam persaingan bagi bakat-bakat fakulti yang menyaingi universiti-universiti antarabangsa, UBD telah mendatangkan profesor-profesor terkemuka dalam bidang masing-masing menerusi skim Eminent Visiting Professorship and Visiting Appointment (EVPVA) dalam usahanya meningkatkan kualiti penyelidikan dan pengajaran di universiti tersebut.

Sehingga kini, UBD telah menjemput Prof Dr. Victor King dalam bidang Sosiologi dan Antropologi, Prof Dr. Euston Quah dalam bidang Ekonomik dan Prof Deborah Hughes-Hallet dalam bidang Matematik serta ramai lagi untuk mengajar dan menjalankan penyelidikan di UBD di mana mereka mengajar program-program ijazah dan lepas ijazah.

Penglibatan profesor-profesor pelawat tersebut dalam projek-projek penyelidikan bersama kakitangan UBD telah membantu dalam pembangunan kapasiti kakitangan belia tempatan, penerbitan kertas kerja dan artikel dalam jurnal-jurnal terkemuka serta pengenalpastian bidang-bidang dan peluang penyelidikan baru.