‘Selamat Datang ke Neraka’ sambut pemimpin G20

HAMBURG, 6 Julai – Bandar yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G20 di Jerman bersiap sedia berdepan bantahan ‘Selamat Datang ke Neraka’ militan antikapitalis yang berpotensi menjadi bantahan ganas hari ini ketika ketegangan meningkat sebelum mesyuarat bermula.

Polis rusuhan menggunakan meriam air dan penyembur lada untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang tidak mendapat kebenaran itu dalam suasana teruk malam Selasa lalu, mengakibatkan lima cedera dan mengundang kebimbangan lebih banyak masalah menanti di bandar pelabuhan utara itu.

Sekitar 100,000 orang penunjuk perasaan dijangka ketika mesyuarat G20 ini diadakan selama dua hari bermula esok dan akan membawa Presiden AS Donald Trump, Vladimir Putin dari Rusia, Xi Jinping dari China dan pemimpin lain ke bandar itu.

Bandar kedua Jerman itu yang mengadakan mesyuarat antarabangsa terbesarnya telah mengerahkan kira-kira 20,000 anggota polis sekitar tapak-tapak acara dilengkapi kelengkapan rusuhan, kenderaan berperisai, helikopter dan dron pengawasan.

Pusat penempatan bagi tahanan telah diwujudkan dengan ruang untuk 400 orang dan hakim penahanan tersedia.

Kereta api khas G20 dibawa ke stesen kereta api di Kornwestheim, selatan Jerman untuk membawa lebih ramai lagi aktivis antikapitalis sebagai protes terhadap mesyuarat G20 di Harmburg. – AFP
Kereta api khas G20 dibawa ke stesen kereta api di Kornwestheim, selatan Jerman untuk membawa lebih ramai lagi aktivis antikapitalis sebagai protes terhadap mesyuarat G20 di Harmburg. – AFP

Kira-kira 30 tunjuk perasaan diumumkan sebelum dan ketika mesyuarat, diadakan oleh aktivis antiglobalisasi dan penyokong alam sekitar, kesatuan perdagangan, kumpulan pelajar dan gereja.

Kebanyakannya dijangka tunjuk perasaan aman tetapi beberapa tunjuk perasaan akan diterajui oleh sayap kiri radikal dan militan fahaman anarki dikenali sebagai aktivis ‘black bloc’ yang kerap bertempur dengan polis.

Penganjur ‘Selamat Datang ke Neraka’ Andreas Blechschmidt berkata, motonya ialah ‘mesej suka berdebat tetapi ia juga bermaksud melambangkan dasar-dasar seluruh dunia G20 bertanggung jawab bagi keadaan bagai neraka seperti kelaparan, peperangan dan bencana iklim’.

Blechschmidt memberitahu AFP bahawa ketika pertemuan G20, para aktivis akan cuba menyekat kemasukan ke tempat-tempat mesyuarat dan seperti biasa ‘memilih sendiri opsyen tentangan terhadap polis’.

Canselor Angela Merkel berkata sementara tunjuk perasaan yang aman mesti dihormati ‘mereka yang menggunakan keganasan mempermainkan’ demokrasi. – AFP