Selamat datang Klopp

Selamat datang Klopp

LONDON, 7 Okt (Reuters) – Bekas pengurus Borussia Dortmund Juergen Klopp dijangka tiba di Anfield, esok bagi menggantikan tempat Brendan Rodgers ketika media British melaporkan Carlo Ancelotti belum bersedia untuk kembali ke arena pengurusan.

Klopp dilaporkan sudah mengadakan perbincangan lanjut dengan Presiden Fenway Sports Group, Mike Gordon dan Ketua Eksekutif Liverpool, Ian Ayre dan merancang untuk ke England bagi melengkapkan perbincangan mengenai perpindahan terbabit.

Bekas pengendali Real Madrid dan Chelsea, Ancelotti yang turut dikaitkan dengan tugas terbabit memberitahu wartawan keinginannya untuk kembali ke bidang pengurusan namun hanya bersedia pada musim depan.

“Saya menikmati masa saya ketika ini. Sudah tentu saya mahu kembali mengurus, bekerja kerana ia adalah minat saya,” kata Ancelotti kepada wartawan pada satu acara di London. “Saya mahu mengambil masa untuk berehat, namun musim depan saya bersedia.”

Bukan lagi rahsia Klopp yang membimbing Dortmund menjuarai dua gelaran Bundesliga dan final Liga Juara-Juara pada 2013 berhasrat untuk meneruskan kariernya di England.

Klopp sandaran baru Liverpool untuk meneruskan baki musim 2015/16. – AFP
Klopp sandaran baru Liverpool untuk meneruskan baki musim 2015/16. – AFP

Pengendali penuh karisma kelahiran Jerman itu mencipta reputasinya apabila mengubah nasib juara Liga Juara-Juara 1997 itu daripada calon penyingkiran kepada salah satu jenama paling bernilai dalam bola sepak dunia.

Klopp begitupun meninggalkan kelab di Lembah Ruhr itu tahun ini selepas tujuh tahun berkhidmat untuk berehat selepas tujuh tahun di Bundesliga.

Legenda Jerman, Franz Beckenbauer menggelar Klopp sebagai ‘jurulatih terbaik di dunia’ dan menggesa Liverpool untuk melengkapkan perjanjian itu dengan pantas.

“Dia menakjubkan. Dia salah seorang pengurus terbaik yang saya kenali di seluruh dunia…” kata Beckenbauer.

“Liverpool juga salah satu kelab terbesar di dunia, jadi Liverpool dan Juergen Klopp jelas gabungan yang terbaik.”

ARTIKEL YANG SAMA