Selamat Hari ASEAN

Selamat Hari ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (gambar bawah)  telah berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari ASEAN ke-49, yang disambut esok (Isnin).

Sempena hari komuniti terbesar di rantau ini, Baginda Sultan berkenan mengucapkan Selamat Hari ASEAN kepada rakan-rakan ASEAN dan rakan-rakan sekerja ASEAN sambil bertitah bahawa inilah peluang kita untuk meninjau kembali pencapaian bersama dan mengiktiraf kepentingan persatuan ini dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian serantau

“Pada tahun pertama kita sebagai sebuah Komuniti ASEAN, terdapat keyakinan yang tinggi dalam kalangan rakyat kita. Ini bukan sahaja merupakan peristiwa penting dalam proses integrasi, malahan ia juga merupakan satu komitmen kepada keamanan berpanjangan, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan masyarakat yang inklusif,” titah Baginda.

Baginda seterusnya bertitah, matlamat dan tujuan ASEAN yang ditetapkan oleh anggota pengasas telah membolehkan persatuan ini untuk menjadi platform kukuh untuk membina kepercayaan, memperluaskan kerjasama dan membawa manfaat kepada semua warganya.

“Ketika kita mencapai Ulang Tahun ke-50 persatuan kita tahun depan, ASEAN telah menunjukkan daya tahan dan keupayaan untuk berkembang dan menyesuaikan diri berdepan cabaran, sementara menyumbang secara positif kepada perkembangan serantau dan antarabangsa.”

p01-1_20160808

Baginda juga mengucapkan tahniah kepada Republik Demokratik Rakyat Laos atas kerja-kerja cemerlang mereka sebagai pengerusi tahun ini, terutama sekali dalam memimpin ASEAN ke dalam bab baru pembangunan komuniti.

“Dalam hal ini, kita menyatakan sokongan berterusan ke atas usaha mereka di bawah tema ‘Mengubah Wawasan menjadi Realiti bagi Komuniti ASEAN yang Dinamik’,” titah Baginda lagi.

 

ARTIKEL YANG SAMA