Selamat kembali ke tanah air Kontinjen Sobd

Selamat kembali ke tanah air Kontinjen Sobd

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Kontinjen Olimpik Istimewa Negara Brunei Darussalam (SOBD) seramai 18 orang hari ini selamat tiba ke tanah air selepas menyertai Acara Sukan Musim Panas Dunia Olimpik Istimewa 2015 di Los Angeles dari 25 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Kontinjen negara yang diwakili 11 atlet dan diketuai oleh Presiden SOBD Haji Mahrub bin Haji Murni bersama lima jurulatih dan seorang pegawai perubatan disambut oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bersama para pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pendidikan, ahli SOBD dan ahli keluarga.

Atlet istimewa yang mewakili negara ke temasya sukan itu ialah Muhammad Aminurr Rafie bin Haji Abdul Rahim, Mickelly Helmie Anak Jonsen, Muhammad Razali bin Haji Maidin, Mohammad Nadihie bin Haji Abas, Nor Sahkinah binti Sikin, Siti Nornabilah binti Samrah, Nurul Mimi Silawati binti Muhammad Suhaimi, Siti Hazirah binti Zolkipli, Mohammad Samri bin Mahli, Siti Nursyazwani binti Haji Shamsudin dan Ahmad Zharfan bin Ahmadiah.

Menurut Haji Mahrub, inilah kali pertama kesemua atlet melepasi peringkat saringan dan layak ke peringkat akhir sehingga membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa walaupun hanya menyertai atletik, Bocee dan golf.

Menteri Pendidikan bergambar ramai dengan rombongan SOBD setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Menteri Pendidikan bergambar ramai dengan rombongan SOBD setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Pencapaian kali ini bukan sahaja menjadi kebanggaan atlet malah mengharumkan nama negara pada peringkat dunia memandangkan sebahagian daripada mereka berjaya memperbaiki pencapaian peribadi sewaktu kejohanan di tanah air.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua atlet dan saya begitu terharu dengan pencapaian yang diperolehi dan dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di atas sokongan padu yang berterusan,” kata Haji Mahrub.

ARTIKEL YANG SAMA