Selamatkan diri daripada dadah

Selamatkan diri daripada dadah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Semua pihak digesa untuk sama-sama membebaskan diri, keluarga dan masyarakat daripada gejala dadah supaya kehidupan lebih harmoni dan sejahtera.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, dalam usaha membanteras gejala ini, semua peringkat masyarakat perlu sama-sama meningkatkan komitmen, kesungguhan dan kepercayaan sepenuhnya ke arah mencapai objektif menangani isu penyalahgunaan dadah di Negara Brunei Darussalam.

Katanya, penyalahgunaan dadah boleh merosakkan akal fikiran malah boleh membawa maut. Perlu difahami, setiap yang memabukkan itu adalah haram, disebabkan penyalahgunaan dadah itu juga memabukkan dan mengkhayalkan, hukumnya adalah haram sama seperti arak.

Sungguhpun begitu, tegas Khatib terdapat segelintir orang dengan sengaja menyalahgunakan dadah dan perkara ini tidak seharusnya berlaku pada zaman yang serba maju ini.

“Maklumat mengenai keburukan dan kemudaratan penyalahgunaan dadah sudah disebarkan oleh pihak berkuasa melalui media massa, ceramah, taklimat, jerayawara dan seumpamanya sebagai langkah pencegahan.

“Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan orang yang melakukannya lupakan diri, agama dan dunia, dan akan memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan fikiran dan kecerdasan serta mengakibatkan penyakit urat saraf serta boleh mengganggu kesihatan mental dan fizikal.

“Ini jelas menunjukkan, menyalahgunakan dadah merupakan perbuatan sengaja mencampakkan diri ke dalam kebinasaan,” tegasnya. Bukan setakat itu, penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan meningkatnya perlakuan jenayah seperti mencuri, merompak, peras ugut, mencederakan orang lain dan membunuh.

Menurut Khatib lagi, kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk menangani gejala dadah termasuk penyediaan pusat rawatan dan pemulihan iaitu Pusat Al Islah.

Sempena Hari Antarabangsa Menentang Menyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram tahun ini yang bertemakan Perjalanan Menuju Kepulihan, khatib menyeru semua pihak untuk sama-sama membebaskan diri, keluarga dan masyarakat daripada dipengaruhi oleh dadah supaya kehidupan lebih harmoni dan sejahtera.

ARTIKEL YANG SAMA