Selamatkan lebih banyak nyawa

Selamatkan lebih banyak nyawa

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Sebanyak 52 pain darah telah berjaya dikumpulkan melalui Kempen Derma Darah anjuran Borneo United Enterprise Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diadakan di pusat berkenaan hari ini.

Kempen yang merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan melibatkan penyertaan kakitangan serta orang awam.

Turut menyertai kempen berkenaan ialah Pengarah Urusan Borneo United Enterprise Sdn Bhd, Stanley Lim Hock Ghim, yang memberitahu Media Permata bahawa kempen tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan bagi keperluan pesakit yang memerlukan dan membantu menambahkan tabung darah di negara ini.

Penyelia Simpanan Darah Hospital RIPAS, Haji Iqmal bin Haji Ismail, semasa ditemui Media Permata memberitahu, keperluan darah sudah semakin meningkat, dengan keperluan sekurang-kurangnya 50 pain sehari.

Sehubungan itu, mereka memerlukan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan mereka untuk mengadakan kempen derma darah secara berterusan.

Antara mereka yang menyertai kempen derma darah tersebut.
Antara mereka yang menyertai kempen derma darah tersebut.
Salah seorang kakitangan Syarikat Borneo United ketika diperiksa sebelum menderma.
Salah seorang kakitangan Syarikat Borneo United ketika diperiksa sebelum menderma.

Menurut beliau, hampir setiap hari mereka menjalankan kempen derma darah, biarpun simpanan setakat ini mencukupi tetapi tabung darah mesti terus ditambah bagi memastikan ia sentiasa mencukupi bagi keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Menderma darah merupakan kegiatan yang sihat, ia boleh mengurangkan sekurang-kurangnya sejumlah 500 kalori bagi setiap penderma, dan mereka boleh menderma selepas dua bulan, dan boleh menderma empat hingga lima kali dalam setahun,” jelasnya.

Beliau menambah, beberapa perubahan ke atas syarat menderma darah telah dilaksanakan sejak 14 Jun 2014, iaitu remaja berusia 17 tahun dibolehkan menderma darah dengan mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa melalui borang yang disediakan, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas sahaja.

Sementara itu, berat badan bagi penderma darah juga telah dikurangkan kepada 45 kilogram berbanding sebelum ini iaitu 50 kilogram, yang mana perubahan itu adalah bagi menyasarkan penderma dalam kalangan para belia yang sihat.

Kempen tersebut telah dikendalikan bersama oleh kakitangan dari Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS yang diketuai oleh Haji Matusop dan dibantu sama oleh Pegawai Perubatan, Dr. Nway Nang.

ARTIKEL YANG SAMA