Selami ilmu agama

Selami ilmu agama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Seramai 74 orang peserta telah berjaya menamatkan Program Ta’ziz ‘Ilmi, dan menerima sijil mereka di majlis yang telah berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah, petang tadi.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil ialah Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong selaku tetamu kehormat.

Program yang telah berlangsung selama empat hari bermula pada 17 Ogos itu merupakan kursus penghayatan Islam bagi penerima dermasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara.

Para peserta yang mengikuti program berkenaan terdiri daripada 54 orang penerima biasiswa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan, 11 melalui Persatuan Pelajar Pegawai Agama Islam Brunei (BruROSA), lapan penerima biasiswa melalui Brunei Gas Carrier (BGC) yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara dan seorang menerusi pembiayaan persendirian yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan daripada tetamu kehormat.
Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan daripada tetamu kehormat.
Hajah Zunainah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.
Hajah Zunainah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Hajah Zunainah dalam ucapannya menyeru agar para peserta yang mengikuti program ini akan dapat menyebarkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada orang ramai yang ingin menuntut ilmu keagamaan.

Program ini bertujuan untuk melengkapkan para pelajar dengan tiga komponen ilmu dan Islam iaitu akidah, ibadah dan akhlak serta memperkukuhkan pengetahuan Agama Islam dan penghayatan ajaran-ajarannya.

Di samping itu, ia juga memberikan kefahaman yang betul mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengukuhkan serta memantapkan lagi akidah para pelajar.

Antara isi kandungan dan tajuk-tajuk yang telah disampaikan sepanjang program itu termasuk Makarimal Akhlak, Permasalahan dalam Bab Najis, Wuduk, Mandi dan Tayamum, Klinik Al-Fatihah, Solat serta Solat Jamak dan Qasar serta banyak lagi.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah melalui unit Belia, Bahagian Penyebaran Dakwah.

ARTIKEL YANG SAMA