Selangkah lagi Kedah juara Liga Perdana 2015

Selangkah lagi Kedah juara Liga Perdana 2015

ALOR SETAR, 20 Ogos – Pasukan Kedah hanya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata ketika bertemu dengan DRB Hicom FC esok (Jumaat), untuk muncul juara dan layak ke Liga Super tahun depan.

Ketua Jurulatihnya Tan Cheng Hoe mengingatkan pemainnya yang dibarisi pemain muda agar lebih fokus ketika menentang DRB Hicom di Stadium Bukit Jalil bagi memastikan hasrat untuk muncul juara liga tercapai.

Katanya beliau akan memperbaiki kelemahan pada jentera pertahanan yang mudah menyumbang gol kepada pasukan lawan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

“Setiap pemain perlu ada keyakinan dan memperbaiki kelemahan individu. Kita tidak boleh pandang ringan pertemuan dengan DRB Hicom dan ini misi penting untuk menang,” katanya dalam sidang media di sini malam tadi.

Katanya dengan kemasukan semula Liridon Krasniqi akibat digantung pada perlawanan malam tadi, diharap dapat membantu pasukan itu untuk mengatur strategi perlawanan yang lebih mantap.

Tan berkata ketiadaan Liridon Krasniqi selepas dilayangkan kad kuning pada perlawanan sebelum ini memberi impak besar ke atas pasukannya yang tidak konsistan dalam perlawanan menentang Sabah malam tadi.

Katanya Skuad Helang Merah terpaksa bekerja keras selepas ketinggalan 0-1 kepada Sabah pada minit ke-19 sebelum mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-23.

Beliau yakin dengan kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya, mereka diharap mampu untuk memberi satu keputusan positif dalam usaha untuk melangkah ke Liga Super musim depan.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana berjaya membawa pasukan itu pada tahap ini. Saya yakin kita boleh mencipta kemenangan yang diimpikan,” katanya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan skuad bimbingan Tan terpaksa berhempas pula bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan itu selepas menang tipis 3-2 ke atas Sabah.

Kedah selaku pendahulu liga kini mengumpul 45 mata berkelebihan tiga mata dengan dua pencabar terdekat iaitu pasukan T-Team dan Pulau Pinang dengan 42 mata. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA