Selangor International Expo Okt ini

Selangor International Expo Okt ini

PETALING JAYA, Kuala Lumpur, 16 Mac – Kerajaan Negeri Selangor bersiap sedia untuk pameran Selangor International Expo 2016 yang lebih gemilang dan mampan pada Oktober tahun ini, dengan tumpuan kepada sektor-sektor industri yang utama merangkumi (produk dan perkhidmatan) halal, sains hayat dan Selangor e-commerce start-up.

Pameran ini akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC) di Seri Kembangan pada 20 hingga 22 Oktober 2016, Selangor International Expo 2016 dianjurkan oleh Invest Selangor Berhad dengan mendapat sokongan daripada lapan dewan perniagaan dan industri di negeri ini.

Selangor International Expo 2016 dianggap sebagai satu acara penting dalam kalendar perdagangan dan pelaburan negeri Selangor sebagai usaha dan penekanan yang lebih pesat ke atas intensif modal dan industri teknologi yang lebih tinggi untuk membolehkan kedua-dua sektor awam dan swasta selari ke arah menjadikan Selangor sebagai negeri “Smart State”.

Pada majlis pelancaran Selangor International Expo 2016, YB Dato’ Teng Chang Khim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan berkata, objektif ekspo ini adalah untuk membawa bersama pelbagai syarikat, perusahaan dan perniagaan untuk memperlihatkan kemahiran mereka, mempamerkan produk terkini di samping meneroka peluang rangkaian dan kerjasama baharu dengan pelbagai syarikat di dalam persekitaran perniagaan yang berkembang maju.

“Secara dasarnya dengan mengadakan ekspo antarabangsa ini untuk tahun kedua berturut-turut, mencerminkan kesungguhan kami kepada pelabur dan kepada kedua-dua komuniti perniagaan antarabangsa dan tempatan untuk mengadakan peluang-peluang tambahan untuk memacu lagi perniagaan mereka,” katanya.

YB Dato’ Teng Chang Khim ketika majlis pra-pelancaran Selangor International Expo 2016.
YB Dato’ Teng Chang Khim ketika majlis pra-pelancaran Selangor International Expo 2016.

Dato’ Teng berkata inisiatif daripada Invest Selangor ini mencerminkan kebertanggungjawaban kerajaan negeri Selangor untuk mempercepatkan serta memasarkan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju di Malaysia.”

Pelaburan secara langsung dalam dan luar negara telah menjadi suatu perkara penting dalam kejayaan negeri Selangor. Dalam tempoh lebih daripada 16 tahun, Invest Selangor telah menarik pelaburan bernilai lebih RM130 bilion dari seluruh dunia,” ujar beliau.

Dato’ Teng menegaskan bahawa kemajuan infrastruktur negeri Selangor, merangkumi pelbagai aspek meliputi udara, laut dan darat serta rangkaian Internet dalam menyediakan platform yang sesuai untuk usaha ekonomi dan jaringan perniagaan yang luas.

Beliau juga berkata “Ini adalah antara faktor yang menjadikan negeri Selangor dikenali sebagai ‘Golden State’.

“Kita memiliki populasi penduduk seramai 6.2 juta dengan kadar literasi dewasa pada kadar 95.7 peratus. Daripada jumlah ini, Negeri Selangor mempunyai tenaga pekerja seramai 2.9 juta yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK tahunan sebanyak 6.7 peratus dari jumlah keseluruhan KDNK sebanyak RM227 bilion pada kiraan akhir 2014,” jelas beliau.

Antara ekspo perdagangan antarabangsa terbesar di negara ini, Selangor International Expo 2015 telah menarik sekitar 4,300 pengunjung dengan penyertaan asing yang datang dari Belgium, China, Hong Kong, India, Indonesia, Timur Tengah, Korea Selatan, Thailand dan United Kingdom.

Peserta dari luar negara telah mengambil kira-kira 182 tapak pameran manakala, sebanyak 218 tapak pameran adalah peserta dari Malaysia.

Untuk tahun ini, Invest Selangor sangat optimistik dalam menyasarkan tambahan peserta sebanyak 40 peratus, dengan menawarkan sebanyak 700 tapak pameran.

Bagi maklumat lanjut mengenai Invest Selangor, bolehlah layari laman sesawang http://investselangor.my dan maklumat terkini berkenaan Selangor International Expo 2016, sila layari www.selangorexpo.com.