Selarikan rancangan persatuan dengan aspirasi China

Selarikan rancangan persatuan dengan aspirasi China

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Mesyuarat dan Seminar Ahli Lembaga Eksekutif Persatuan Antara Bank China dan ASEAN (CAIBA) ke-5, yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini, berusaha untuk menyelaraskan rancangan persatuan supaya selari dengan aspirasi China yang akan meningkatkan pelaburannya di rantau Asia Tenggara kepada AS$150 bilion menjelang 2020.

Mesyuarat dan seminar yang dipengerusikan oleh Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Javed Ahmad itu merupakan salah satu inisiatif utama untuk mempromosi kerjasama di antara ASEAN dan China.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian mesyuarat dan seminar itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Javed Ahmad semasa mesyuarat itu berkata, penubuhan CAIBA lima tahun yang lalu dihasratkan untuk meningkatkan pertukaran di antara institusi kewangan dan mempromosikan pembangunan sosial serta ekonomi bersama di antara China dan ASEAN.

“ASEAN dan China terus melaksanakan pelbagai usaha untuk menangani cabaran yang hadir dalam pasaran global pada masa ini dan usaha itu menunjukkan perkembangan yang baik dan menggalakkan terutama dalam kalangan negara anggota ASEAN dan China,” kata beliau.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bergambar ramai dengan ketua delegasi yang menghadiri Mesyuarat dan Seminar Ahli Lembaga Eksekutif CAIBA ke-5.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bergambar ramai dengan ketua delegasi yang menghadiri Mesyuarat dan Seminar Ahli Lembaga Eksekutif CAIBA ke-5.
Zheng Zhijie (kanan) dan Pung Kheav Se (kiri) menandatangani perjanjian dengan disaksikan oleh Javed Ahmad (tengah).
Zheng Zhijie (kanan) dan Pung Kheav Se (kiri) menandatangani perjanjian dengan disaksikan oleh Javed Ahmad (tengah).

Pada 2014 sahaja, jumlah keseluruhan perdagangan di antara ASEAN lebih daripada AS$608 bilion dan perdagangan eksport di antara ASEAN dengan China pula lebih daripada AS$150 bilion manakala import di antara ASEAN dengan China pula lebih daripada AS$216 bilion yang menjadikan China sebagai rakan perdagangan terbesar ASEAN.

“CAIBA sebagai sebuah persatuan harus mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan lagi kerjasama perdagangan di dalam rantau ASEAN dan juga bersama China.

“Sebagai ahli CAIBA, mereka juga harus memberikan tumpuan untuk menyediakan sokongan kepada ahli dengan membantu mengembangkan hubungan dan kerjasama ekonomi sebagai sebuah persatuan yang bersatu-padu,” kata Javed lagi.

CAIBA juga telah menggerakkan bantuan bagi perniagaan seperti perjanjian di antara China Development Bank (CDB) dengan Mandiri Bank bernilai AS$1 bilion, CDB dengan Bank Pelaburan dan Pembangunan Vietnam bernilai AS$200 juta dan CDB serta Canadia Bank of Cambodia bernilai AS$70 juta.

Kemudahan kerjasama itu bukan sahaja diharap mampu untuk meningkatkan kerjasama di antara ahli CAIBA tetapi juga menyediakan sokongan kewangan kepada projek-projek utama negara-negara anggota serta membantu untuk menyokong kerjasama dan pembangunan sosial di antara China dan ASEAN.

“BIBD terus berusaha untuk melaksanakan kefahaman yang lebih baik mengenai kewangan Islam dalam kalangan anggota CAIBA khususnya dari segi perkembangan dan potensinya di mana pada masa ini, pasaran global kewangan Islam dianggarkan lebih daripada AS$1.5 trilion dan dijangka akan mencecah AS$3 trilion menjelang 2020,” tambah beliau.

Mesyuarat dan seminar itu dihadiri oleh delegasi daripada 11 buah institusi kewangan utama yang mewakili China dan setiap negara anggota ASEAN.

Mesyuarat itu turut menyaksikan penandatanganan bagi penubuhan kumpulan kerja di bawah Memorandum Persefahaman bagi Mempromosikan Kerjasama Ekonomi dan Kewangan China-ASEAN.

Kumpulan kerja itu ditugaskan untuk membincangkan mengenai mekanisme yang efektif dan bersesuaian untuk melaksanakan bidang-bidang kerjasama di bawah memorandum persefahaman berkenaan.

Para delegasi juga berpeluang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara CDB yang diwakili oleh Presiden CDB, Zheng Zhijie dan Canadia Bank of Cambodia yang diwakili oleh Pengerusi Lembaga bank berkenaan, Pung Kheav Se dengan disaksikan oleh Pengerusi CAIBA, Javed Ahmad.

Mesyuarat dan seminar 2015 merupakan tahun terakhir BIBD selaku Pengerusi CAIBA dan akan menyerahkan kedudukan pengerusi persatuan itu kepada CDB.

Pada sebelah malam, delegasi CAIBA telah diraikan dalam Majlis Makan Malam yang diadakan di Tarindak d’Seni, Bandar Seri Begawan sebagai penutup kepada Mesyuarat dan Seminar CAIBA ke-5.

ARTIKEL YANG SAMA