Selatan uji misil boleh kena ‘mana-mana kawasan Utara’

Selatan uji misil boleh kena ‘mana-mana kawasan Utara’

SEOUL, 3 Jun (AFP) – Korea Selatan semalam menguji tembak dua peluru berpandu balistik yang berupaya terkena mana-mana kawasan Korea Utara, dalam respons terhadap sikap Pyongyang yang suka berdegar-degar mengenai keupayaan nuklear dan peluru berpandunya.

Dalam satu tindakan luar biasa, Presiden Park Geun-Hye sendiri memerhati latihan ujian tersebut, kata seorang pegawai kementerian pertahanan.

“Tentera menguji dua peluru berpandu jarak jauh yang boleh terkena mana-mana sasaran di Korea Utara,” beritahu pegawai kepada AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Ujian dilancarkan hampir sebulan selepas Korea Utara berkata ia telah berjaya menguji satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam (SLBM) – satu dakwaan yang dikatakan oleh ramai pakar sebagai diheboh-hebohkan.

SLBM akan membawa ancaman nuklear Korea Utara kepada tahap baru, membenarkan tembakan di luar semenanjung Korea dan memberinya potensi untuk bertindak balas sekiranya berlaku serangan nuklear.

Selain daripada ujian SLBM, Pyongyang baru-baru ini berkata ia mempunyai keupayaan untuk mengecilkan kepala peluru nuklear untuk dipasang pada roket jarak jauh. Pakar juga mempersoalkan dakwaan tersebut, walaupun timbulnya persetujuan bahawa Korea Utara sedang bertindak cepat dengan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Jenis peluru berpandu yang diuji oleh Korea Selatan hari ini mampu membawa muatan seberat satu tan sehingga 500 kilometer.

ARTIKEL YANG SAMA