Selecao tambat Albiceleste

Selecao tambat Albiceleste

BUENOS AIRES, 15 Nov (Reuters) – Argentina gagal mencetuskan ancaman ke pintu gol lawan sewaktu terikat 1-1 dengan Brazil semalam, sekali gus memaksa mereka menggalas misi wajib menang apabila berdepan Colombia dalam kelayakan Piala Dunia 2018, minggu depan, kata jurulatih Gerardo Martino.

Dalam pertemuan di Buenos Aires, skuad La Albiceleste mempamer persembahan dominan, tetapi hanya mampu membolosi gawang Brazil sekali menerusi penyerang Paris Saint-Germain, Ezequiel Lavezzi pada minit ke-34.

Brazil menyamakan kedudukan melalui Lucas Lima di babak kedua, sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Martino melakar pencapaian terburuk dalam aksi kelayakan Piala Dunia, setelah sekadar mengumpul dua daripada sembilan mata.

“Persembahan yang dipamerkan pemain menunjukkan petanda positif, tetapi apabila melibatkan pungutan mata, keputusan itu dilihat sebagai kurang memberangsangkan.

“Mereka bermain dengan cukup berkesan malam ini (semalam) dan kami pula gagal berbuat demikian. Kami perlu menang di Colombia nanti,” kata Martino.

Angel Di Maria (kiri) dan Luiz Gustavo bersaing dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires, kelmarin. - AFP
Angel Di Maria (kiri) dan Luiz Gustavo bersaing dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires, kelmarin. – AFP

Argentina kini berada di kedudukan kelapan dalam carta 10 pasukan Amerika Selatan dan bakal bertemu skuad sedang meningkat, Colombia yang menghuni tangga keenam selepas mencatat seri 1-1 menentang juara Copa America, Chile.

Kapten Argentina, Javier Mascherano sependapat dengan jurulatihnya dan berkata, mereka tidak bernasib baik kerana gagal menewaskan Brazil selepas mendominasi perlawanan.

“Kami tidak suka memberi alasan. Kami telah bermain dalam satu perlawanan serius dan malangnya mereka menyamakan kedudukan dengan satu gerakan yang cukup unik,” kata Mascherano kepada pemberita.

Jurulatih Brazil, Dunga pula bernada lebih yakin, tentang persembahan skuad bimbingannya, terutama dalam babak kedua.

Pemain gantian, Douglas Costa mempamerkan aksi dinamik dan mengubah kelajuan permainan pasukan sebaik sahaja dia dibawa masuk.

Dunga, bagaimanapun, agak hampa apabila Brazil gagal memanfaatkan kesempatan dalam aksi yang berlangsung dalam suasana menekan serta gugup di Stadium Monumental.