Selecao temui rentak

Selecao temui rentak

SAO PAULO, 19 Nov (Reuters) – Prestasi menarik Douglas Costa membolehkan Brazil menang 3-0 ke atas Peru, semalam, sekali gus melonjakkan mereka ke tangga ketiga kumpulan kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan.

Costa menjaringkan gol pertama selepas 21 minit permainan dan dia membantu jaringan kedua yang disempurnakan Renato Augusto pada minit ke-57.

Filipe Luis menghasilkan gol ketiga pada minit ke-76 selepas penjaga gol lawan gagal menahan percubaan Costa dari sebelah kanan gawangnya.

“Penting untuk menang selepas sekadar seri di Argentina dan kami bermain baik,” kata Luis yang meledak gol pertama peringkat antarabangsa.

“Pasukan kami semakin matang dan bertambah baik setiap perlawanan. Kami sudah menemui rentak yang dicari selama ini.”

(Dari kiri) Pemain Brazil Willian, Renato Augusto, Douglas Costa dan Neymar Jr. meraikan jaringan semasa menentang Peru di Salvador de Bahia, kelmarin. – AFP
(Dari kiri) Pemain Brazil Willian, Renato Augusto, Douglas Costa dan Neymar Jr. meraikan jaringan semasa menentang Peru di Salvador de Bahia, kelmarin. – AFP

Brazil yang membuat tiga perubahan ke atas pasukan yang seri 1-1 dengan Argentina di Buenos Aires pada 13 November, bermula agak goyah ketika menentang Peru.

Bintang Peru Paolo Guerrero sepatutnya mampu menjaringkan gol apabila hanya berdepan penjaga gol Brazil Alisson ketika permainan baru memasuki minit ketiga tetapi rembatannya mudah ditampan.

Brazil membuka jaringan menerusi Costa selepas menerima hantaran lintang Willian pada minit ke-21.

Pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun tidak bernasib baik apabila rembatannya pada minit ke-39 terkena tiang.

Percubaan pemain Peru Christian Cueva pada minit ke-53 diselamatkan Alisson sebelum rembatan Willian dari dalam kotak penalti diselamatkan Diego Perry beberapa minit kemudian.

Brazil menggandakan kelebihan selepas 57 minit permainan apabila Costa membuat lorongan kepada Augusto yang melepaskan rembatan kencang dan gagal diselamatkan Perry.

Luis menjadikan kedudukan 3-0 ketika permainan berbaki 14 minit selepas bola ditampan Perry hasil rembatan Costa, singgah di kakinya.

ARTIKEL YANG SAMA