Selendang Sutera juarai bermukun Regata Mukah

Selendang Sutera juarai bermukun Regata Mukah

Oleh Faridah haji Ibrahim

 

MUKAH, Sarawak, 1 Dis – Irama Sayang Sarawak telah membawa tuah kepada kumpulan mukun dari Brunei, Selendang Sutera, apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Bermukun Sempena Regata Mukah 2015 yang berlangsung di Mukah, Sabtu lalu.

Pasangan Awang Irwan Rino dan Wan Zuraimi Julaihi berjaya menewaskan 10 kumpulan mukun lain, untuk membawa pulang sebuah piala rebutan, wang tunai RM700 beserta sijil penyertaan.

Naib Juara dimenangi oleh kumpulan mukun Bunga Tanjong dengan membawakan irama mukun Cinta Berahi manakala kumpulan mukun Menanti Harapan yang membawa irama Laila Majnun mendapat tempat ketiga.

Kedua-dua kumpulan dari Mukah itu masing-masing menerima hadiah RM600 dan RM500 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Pertandingan Bermukun tersebut adalah acara sampingan bersempena acara regata yang julung-julung kali sejak 10 tahun lalu.

Rombongan Mukun Selendang Sutera Brunei diketuai oleh Awang Mohd Saifuddin bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Rombongan Mukun Selendang Sutera Brunei diketuai oleh Awang Mohd Saifuddin bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Peserta negara, Awng Irwan Rino ketika ditemui berkata, dengan menggunakan enam rentak tarian mukun dan pantun bertemakan Regata Mukah beliau begitu yakin untuk muncul juara.

“Disebabkan saya juga menyertai acara lumba perahu di Mukah, maka saya memberikan empat pantun berkaitan acara lumba perahu dan menyentuh pasukan lumba perahu Brunei inilah pantun yang berbeza dengan peserta lain,” jelasnya.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N.51 Balingian, Yussibnosh bin Balo.
Kumpulan Selendang Sutera mempunyai 13 orang ahli dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah Awang Mohd Saifuddin bin Abdullah selaku ketua rombongan mukun Selendang Sutera Brunei ke Mukah.

ARTIKEL YANG SAMA