Selesaikan penggantungan dagangan Barter

Selesaikan penggantungan dagangan Barter

SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) – Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) akan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan penggantungan aktiviti perdagangan barter di Sabah.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perniagaan Rentas Sempadan SUCCC di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi Logistik dan Jawatankuasa Pengangkutan SUCCC Wong Thart Sin berkata memorandum itu bagi meminta kabinet negeri dan agensi berkaitan untuk menghasilkan formula menang-menang bagi membenarkan semula aktiviti perniagaan rentas sempadan atau perdagangan barter.

Katanya aktiviti perniagaan itu perlu dilaksanakan dengan cara profesional dan betul untuk menghidupkan semula ekonomi di wilayah yang merasai kesan penggantungan perdagangan barter di negeri ini.

“Memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan negeri itu turut mengandungi maklumat dan kesan yang dihadapi oleh peniaga dan daerah disebabkan penggantungan perdagangan barter itu,” katanya.

Pada 6 April lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri, mengumumkan aktiviti perniagaan tukar barang di semua pelabuhan di Sabah digantung dan ditangguh serta-merta.

Wong berkata pihaknya juga berterima kasih kepada Musa atas cadangan memberi kelulusan kepada peniaga perdagangan merentas sempadan untuk menghabiskan stok barangan mereka.

Menurutnya dalam hal ini, peniaga perdagangan barter dinasihatkan mengemukakan permohonan kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah untuk proses kelulusan untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Sandakan Chong Chang Hing memberitahu Bernama peniaga perdagangan barter di daerah ini, biarpun menentang penggantungan aktiviti perdagangan barter, namun akur dengan mempertimbangkan aspek keselamatan perairan negeri ini.

Katanya mesyuarat jawatankuasa kecil SUCCC hari ini yang disertai oleh 19 peniaga barter di daerah ini bertujuan memahami masalah yang terpaksa mereka hadapi kesan daripada penggantungan aktiviti perdagangan barter.

Di samping itu, katanya, borang soal kaji selidik diedarkan kepada mereka bagi mengumpul maklumat mengenai reaksi mereka terhadap penggantungan perdagangan barter.

Pemilik syarikat Hoi Wan Sabah Sdn Bhd, Ricky Tan meminta kerajaan mempertimbangkan semula penggantungan perdagangan barter yang tidak dimaklumkan tempoh penangguhannya.

Beliau berpendapat perdagangan barter tidak mempunyai kaitan dengan kejadian kes culik di perairan Sabah kerana bot kampit yang datang berlabuh di pelabuhan ini dikawal ketat oleh pihak keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA