Seludup kereta curi, dadah

Seludup kereta curi, dadah

Oleh Arissa

 

LAWAS,19 Jun – Polis berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup kenderaan jenis Toyota Hilux yang dilaporkan hilang Isnin lalu di Inanam Sabah ke negara jiran Indonesia dalam operasi rondaan cegah jenayah di sempadan Ba Kelalan pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, polis menemui sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan diletakkan di bahu jalan di kawasan Jalan Punang Kelalan,Ba Kelalan.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek 28, dari Sundar Lawas berada dalam kenderaan tersebut.

“Siasatan awal juga mendapati kenderaan berwarna maroon yang mempunyai nombor pendaftaran Sabah dan dilaporkan hilang di Inanam, Sabah pada Isnin lepas,”katanya kepada media semalam.

Katanya lagi pihaknya juga percaya kenderaan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui sempadan di kawasan berkenaan.

Pihak polis merampas ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Pihak polis merampas ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Dalam kes berasingan seorang remaja ditahan apabila tindakannya menyembunyikan dadah di dalam sebuah kotak hitam dalam bilik tidurnya berjaya dikesan polis dalam kejadian yang berlaku di perumahan Banting di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 12.03 tengahari itu, suspek berbangsa Bugis 25, dari Sabah ditahan polis dalam serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Abang Zainal berkata polis menjumpai lapan keratan plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur suspek.