Seludup minyak ditumpaskan

Seludup minyak ditumpaskan

Oleh Arissa

 

LIMBANG,13 April – Tindakan seorang lelaki untuk mengaut keuntungan hasil daripada penyeludupan minyak diesel bersubsidi tidak kesampaian, apabila perbuatannya berjaya dipatahkan oleh sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang di sebuah premis di Kampung Berawan kelmarin.

Dalam operasi jam 9.30 pagi itu,sepasukan anggota PGA yang diketuai Ketua Kompeni C Batalion 12, PGA Limbang Asp Paul Paren Ibau, bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahagian Limbang mengadakan pemeriksaan ke atas premis milik suspek berbangsa Cina berusia 60 tahun.

Paul berkata pelbagai barangan seperti peralatan menyimpan dan menyedut minyak, tiga buah kenderaan pelbagai jenis dan minyak diesel bersubsidi telah dirampas.

Paul (kiri) dan anggotanya ketika mematahkan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Kampung Berawan kelmarin.
Paul (kiri) dan anggotanya ketika mematahkan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Kampung Berawan kelmarin.

“Antara barangan yang dirampas termasuk beberapa buah tong simpanan minyak berisi diesel bersubsidi, tangki minyak diesel, tiga buah kenderaan, dan peralatan lain dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM82,600,” katanya di sini semalam.

Katanya lagi, suspek telah ditahan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Barang Kawalan.