Seludup rokok belanja kahwin

Seludup rokok belanja kahwin

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Seorang lelaki penduduk tetap yang cuba mencari pekerjaan untuk mendapatkan wang bagi perbelanjaan perkahwinannya menerima nasibnya, hari ini, apabila Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda $11,800 atau 10 bulan penjara atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Mohammad Helmi bin Omit, 23, mengaku salah memiliki 31 karton rokok pelbagai jenis ketika ditahan oleh pegawai kastam yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 24 Mei 2014 kira-kira jam 4:45 petang.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta tertuduh menemui rokok-rokok itu disimpan di dalam beg plastik berwarna hitam di dalam but kereta.

Tertuduh mengaku bahawa kesemua rokok itu adalah untuk kegunaannya dan juga untuk dijual. Tertuduh memohon kepada mahkamah untuk membayar denda secara ansuran dan hanya sanggup membayar $100 setiap bulan.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menolak permohonan tertuduh dengan mengatakan ia akan mengambil tempoh yang lama untuk tertuduh menyelesaikan denda, sebaliknya memberi tempoh lapan bulan kepada tertuduh dan kegagalan menjelaskan denda akan menyebabkan tertuduh meringkuk di penjara selama 10 bulan.

ARTIKEL YANG SAMA