Seluruh rakyat mendoakan

Seluruh rakyat mendoakan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Tahlil sempena sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-70 tahun di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

pg01_160715_a

Baginda Sultan dan kerabat diraja lain berkenan berangkat ke majlis itu tersebut.
Baginda Sultan dan kerabat diraja lain berkenan berangkat ke majlis itu tersebut.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Ia diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. Doa Kesyukuran dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Majlis seumpama ini juga diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.