Semai akidah, ibadah dan akhlak

Semai akidah, ibadah dan akhlak

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Bagi melengkapkan pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara dengan tiga komponen ilmu Islam termasuk akidah, ibadah dan akhlak sebagai bekalan sepanjang pembelajaran, Pusat Dakwah Islamiah melalui Unit Belia Bahagian Penyebaran Dakwah mengendalikan Program Ta’ziz ‘Ilmi selama empat hari, bermula hari ini hingga 20 Ogos.

Kursus yang sebelum ini dikenali sebagai Kursus Penghayatan Bagi Penerima Dermasiswa Yang Sedang Melanjutkan Pengajian di Luar Negara itu melibatkan 86 orang peserta, iaitu 27 lelaki dan 59 perempuan.

Para peserta terdiri daripada pelajar yang disenaraikan di bawah Bahagian Dermasiswa Kementerian Pendidikan, Persatuan Pelajar Pegawai Agama Islam Brunei (BruROSA) dan Brunei Gas Carrier (BGC) Program ini juga menjadi platform mengukuhkan pengetahuan agama dan penghayatan ajarannya sebagai cara hidup yang lengkap dan menambahkan kefahaman yang betul mengenai aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain daripada itu, ia turut menjadi wadah meningkatkan pengetahuan dan penghayatan pelajar dalam perkara ibadah, berakhlak mulia dan mantap dari segi rohani serta menerangkan mengenai hukum berhubung kait dengan pemakanan.

Sebanyak 10 tajuk akan dibentangkan di dalam bengkel kali ini iaitu Makarimal Akhlak, Permasalahan Dalam Bab Najis, Wuduk dan Tayamum, Klinik Al-Fatihah, Solat Serta Cara Solat Jamak dan Qasar, Puasa Ramadan di Perantauan dan Zakat serta Permasalahannya, Akidah, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Konsep Pemakanan Halal dalam Islam, Ajaran Sesat dan Zikir-zikir Amalan Pelajar.

Antara pelajar yang menyertai bengkel berkenaan.
Antara pelajar yang menyertai bengkel berkenaan.

Pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiah yang terlibat dalam bengkel berkenaan ialah Awang Isham bin Ismail, Haji Badaruddin bin Haji Besar, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Awang Ali Hassan bin Mohd Said dan Awangku Haji Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu.

Dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah pula ialah Awang Khairul Manan binti Haji Hawafi, Haji Ubaidillah Al-Hafiz SQ bin Haji Abdul Mughni, Hajah To’ati binti Haji Abdul Djalal, Hajah Tunjiha Al-Hafizah SQ binti Haji Chumaidillah, Dayang Salina binti Mohd Razali, Dayang Nurul ‘Ezzati ‘Aqilah binti Rosli, Dayangku Siti Nor Hamidah binti Pengiran Matassan dan Dayang Nurul Hidayati binti Haji Ahmad.

Pembentang kertas kerja lain termasuk Awang Azman bin Haji Kassim dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Hajah Hadiyati binti Haji Abdul Hadi dan Hajah Safa Safiyyah binti Haji Gharif dari Unit Perundangan Islam, Haji Yusof bin Haji Abdul Latif dan Dayang Liyana binti Julaihi dari Bahagian Kawalan Makanan Halal dan Dayangku Norleilawati binti Pengiran Haji Mohd Salleh dari Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES).

ARTIKEL YANG SAMA