Semai kemahiran keusahawanan

Semai kemahiran keusahawanan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Politeknik Brunei hari ini menganjurkan Bengkel Keusahawanan Brunei: Inovasi Belia 2016, yang berlangsung di Kampus Utama Politeknik Brunei, Ong Sum Ping di ibu negara.

Hadir pada sesi bengkel itu ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dan Pengurus Projek dan Ketua Pusat Inovasi, Pengajaran dan Pembelajaran, Politeknik Brunei, Dr Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid.

Seramai 30 pelajar sekolah menengah, iaitu 15 daripada mereka dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan 15 pelajar lagi dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri menghadiri sesi pagi bengkel itu yang dikendalikan oleh pakar keusahawanan yang diundang dari Soloman Ash, United Kingdom, Mohammed Arshed Butt.

Manakala sesi petang dikhususkan untuk 30 pelajar sekolah rendah, iaitu 15 pelajar dari Sekolah Rendah Mabohai dan 15 lagi dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, termasuk cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur ‘Aabidah Syifa binti Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar.

Pengiran Nur ‘Aabidah Syifa menyampaikan pembentangan bersama rakan-rakan.
Pengiran Nur ‘Aabidah Syifa menyampaikan pembentangan bersama rakan-rakan.

Bengkel itu disasarkan untuk memenuhi permintaan pasaran ekonomi yang mencabar di negara ini kerana melalui sesi bengkel tersebut para pelajar dari peringkat rendah, menengah dan lanjutan akan dibekalkan dengan kemahiran keusahawanan melalui platform inovasi.

Matlamat seterusnya ialah untuk mempersiapkan masyarakat yang bersemangat tinggi, berkeyakinan dan proaktif, berdikari dan individu yang berdaya tahan dan mampu memberikan daya saing dalam keadaan ekonomi negara yang rancak berubah.

Bengkel yang mendapat sokongan padu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dijangka akan membabitkan penyertaan pelbagai peringkat pelajar sepanjang tiga hari ia diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA