Semai kesedaran perlindungan kanak-kanak

Semai kesedaran perlindungan kanak-kanak

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran bakal-bakal guru supaya peka mengenai perlindungan kanak-kanak, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), baru-baru ini, telah mengadakan forum Peranan Guru dalam Perlindungan Kanak-kanak yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Lebih daripada 100 orang hadir dalam forum berkenaan yang terdiri daripada para pensyarah, guru-guru di bawah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta para siswa-siswazah UBD khususnya dari jurusan Sarjana Pengajaran (MTeach), Sarjana dalam Kaunseling (MCounselling), Sarjana Pendidikan (MEd) dan PhD, SHBIE.

Majlis selama satu jam berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, UBD, Dr Hajah Salwa binti Dato Seri Setia Haji Mahalle yang juga pensyarah dalam bidang kaunseling di IPSHB.

Manakala itu, ahli-ahli panelnya terdiri daripada Ketua Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak di Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, DSP Hajah Mariyani binti Haji Abdul Wahab dan penceramah agama yang pakar dalam Hadis dari Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang juga merangkap sebagai Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, UNISSA, Dr Lilly Suzana binti Haji Shamsu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, perbincangan forum memfokuskan terhadap peranan guru-guru dan kaunselor dalam melindungi kanak-kanak di sekolah.

Ahli-ahli panel yang menjadi perantara forum Peranan Guru dalam Perlindungan Kanak-kanak.
Ahli-ahli panel yang menjadi perantara forum Peranan Guru dalam Perlindungan Kanak-kanak.

Forum turut membincangkan pelbagai isu seperti penderaan kanak-kanak dari segi fizikal, emosi dan mental, kanak-kanak dalam risiko (neglecting, abandoning & exposing), ibu bapa/penjaga yang tidak sesuai (unfit guardian), meninggalkan anak tanpa pengawasan, membenarkan kanak-kanak untuk meminta sedekah, aktiviti-aktiviti haram atau aktiviti-aktiviti yang menjejaskan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak tersebut dan penyeludupan kanak-kanak.

Seperti yang telah dikongsikan oleh Dr Lilly Suzana melalui sebuah hadis yang mafhumnya, “Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (suci) justeru ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani dan Majusi” (HR Riwayat Bukhari dan Muslim), agama Islam sangat menitikberatkan perlindungan kanak-kanak, dan ibu bapa bertanggungjawab dalam melindungi dan membentuk kanak-kanak menjadi seorang yang beragama dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Turut disentuh adalah mengenai peranan guru sebagai ‘in loco parentis’ seumpama ibu bapa kepada kanak-kanak di sekolah yang mempunyai tanggungjawab besar untuk memberikan ilmu akademik dan ilmu tentang kehidupan agar kanak-kanak terpelihara dari segi fizikal, emosi dan mental.

Guru mempunyai peranan yang sangat penting dalam melaporkan kepada pihak berwajib jika mengetahui kanak-kanak yang berisiko dan memerlukan bantuan perlindungan.