Semai keusahawanan pelajar IPT

Semai keusahawanan pelajar IPT

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Universiti Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mengadakan Bengkel Keusahawanan Sidang Asia-Eropah (ASEM) bermula hari ini sehingga 26 Mei kelak di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Hadir merasmikan bengkel ialah Timbalan Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Dr Azman Ahmad. Turut hadir ialah duta-duta besar dan perwakilan suruhanjaya tinggi Asia dan Eropah di Negara Brunei Darussalam.

Bengkel bertemakan Menyemai Keusahawanan dalam Pendidikan Tinggi (Fostering Entrepreneurship in Higher Education) bertujuan membangunkan jaringan keusahawanan dan pembangunan amalan keusahawanan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Asia dan Eropah.

Sepanjang bengkel, pakar dari luar negara akan mengadakan pembentangan termasuklah pakar jemputan dari Negara Asia dan Eropah seperti Bulgaria, Australia, Hong Kong dan Jepun.

Gambar ramai jemputan bengkel itu.
Gambar ramai jemputan bengkel itu.

Matlamat utama adalah untuk membantu melengkapkan pelajar di rantau Asia dan Eropah dengan kemahiran keusahawanan sebagai salah satu usaha memastikan mereka berdaya saing dalam bidang pekerjaan.

Selain itu bengkel ini menjadi platform pengumpulan data dan informasi yang relevan kepada industri, masyarakat dan akademik dalam amalan terbaik dan dasar pendidikan yang menyokong keusahawanan.

Ia juga menggariskan contoh dan pengajian kes tertentu yang pastinya akan mengasah pembangunan keusahawanan dan latihan kemahiran di institusi pengajian tinggi yang terlibat dan sekali gus menjadi platform mengongsi pengalaman dan jaringan serantau termasuk melalui media sosial bagi pelajar ASEM.

ARTIKEL YANG SAMA