Semai nilai keagamaan

Semai nilai keagamaan

Oleh Normazlina M.D, Anwar Rosly & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Program Keagamaan Senegara bagi Sekolah-sekolah Agama dan Arab seluruh negara, anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), diteruskan lagi dengan mengetengahkan tema ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan’ bersempena dengan Sambutan Hari Guru tahun ini.

Di Daerah Tutong, majlis bagi bulan ini telah diadakan di Ma’had Islam Brunei yang dihadiri lebih 450 pelajar Tahun 5 hingga Tahun 10 dan guru-guru Ma’had Islam Brunei.

Hadir pada program itu ialah Pemangku Pengetua Ma’had Islam Brunei, Pengiran Haji Asmadi bin Pengiran Haji Aliuddin.

Sementara itu, lebih 919 murid Darjah 1 hingga 6 Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SUPSBSOAS), menghadiri program bagi Daerah Belait yang diadakan di sekolah agama berkenaan.

Guru Besar, Dayang Norazimah binti Haji Kahar yang menghadiri majlis itu, semasa ditemui, memberitahu dua tujuan utama acara berkenaan adalah sempena memperingati Hari Guru dan juga bagi menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) pada akhir tahun ini nanti.

Sebahagian daripada pelajar dan guru menjayakan Program Keagamaan Senegara bagi kesemua Sekolah-sekolah Agama dan Arab seluruh negara – gambar oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Sebahagian daripada pelajar dan guru menjayakan Program Keagamaan Senegara bagi kesemua Sekolah-sekolah Agama dan Arab seluruh negara – gambar oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Manakala itu, di Daerah Temburong, program seumpamanya telah diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pekan Bangar, dan dihadiri oleh lebih 100 pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Program di keempat-empat daerah telah diisi dengan tazkirah mengenai tema bagi bulan ini, solat hajat berjemaah, membaca doa peperiksaan, Rattib Al-Attas, doa guru dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Antara lain tujuan program adalah untuk melahirkan ‘al-insan as-saleh’ dan pendidikan yang seimbang dan sempurna agar murid-murid sentiasa diberikan penekanan terhadap kedua-dua aspek iaitu kurikulum dan gerak kerja kokurikulum.

Ia juga dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pengalaman hidup yang sebenar dalam berkeluarga dan bermasyarakat, serta menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA