Semai patriotisme pelajar

Semai patriotisme pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Lebih 100 pelajar Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) telah menyertai Program Taklimat Kenegaraan, mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat dalam menghayati lagu kebangsaan dan bendera negara, yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Program yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu merupakan usaha berterusan jabatan berkenaan dalam menyemai semangat patriotisme pelajar-pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Dalam usaha menanam semangat patriotik dan cintakan negara kepada golongan muda khususnya dengan menyanyikan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan dan mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam, para pelajar perlu diberikan pendidikan ke arah menimbulkan semangat kenegaraan dan kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara.

Di majlis berkenaan, taklimat mengenai lagu kebangsaan dan bendera negara disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Haji Dayang bin Haji Kasim yang antara lain menjelaskan dengan terperinci mengenai sejarah bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan.

Beliau juga menjelaskan definisi, peranan dan mengenai sejarah bendera dan lagu kebangsaan negara.

Para pelajar memberikan perhatian kepada taklimat interaktif yang diberikan.
Para pelajar memberikan perhatian kepada taklimat interaktif yang diberikan.
Haji Dayang menyampaikan taklimatnya.
Haji Dayang menyampaikan taklimatnya.

Terdahulu sebelum sesi taklimat berkenaan, majlis dimulakan dengan nyanyian beramai-ramai lagu kebangsaan dan lagu patriotik, Bendera Negara.

Majlis juga menyaksikan tayangan klip video mengenai bendera negara terbitan Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri serta sesi kuiz kenegaraan.

Program itu juga dihasratkan untuk menyemai perasaan cintakan bangsa, agama, raja dan negara di samping mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para pelajar melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.

Selain itu, ia turut bermatlamat untuk mengoptimumkan penghayatan dan pemahaman terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara ke arah kesedaran hidup berbangsa, bernegara, beragama yang berdasarkan falsafah negara, Melayu Islam Beraja (MIB) serta memapankan usaha-usaha yang telah sedia ada dalam menggalakkan para pelajar untuk menghormati dan menjiwai bendera negara dan lagu kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA