Semai patriotisme

Semai patriotisme

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Dalam usaha berterusan meningkatkan penghayatan dan pemahaman mengenai bendera dan lagu kebangsaan dalam kalangan pelajar, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri meneruskan lagi taklimat kenegaraan di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB), di sini, hari ini.

Berangkat sama mendengar taklimat berkenaan di Dewan Taklimat SM YSHHB ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib.

Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Haji Dayang bin Haji Kasim.

Penganjuran taklimat ini antara lain bertujuan untuk mengoptimumkan penghayatan dan pemahaman terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara ke arah kesedaran hidup berbangsa, bernegara, beragama yang berdasarkan falsafah negara Melayu Islam Beraja serta menyemai perasaan cintakan bangsa, agama, raja dan negara.

Haji Dayang semasa menyampaikan taklimat kenegaraan. Berangkat sama ke taklimat itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib.
Haji Dayang semasa menyampaikan taklimat kenegaraan. Berangkat sama ke taklimat itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib.

Di samping itu, ia diharap dapat mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri melalui bendera negara dan lagu kebangsaan, serta memapankan usaha-usaha yang telah sedia ada dalam menggalakkan para pelajar untuk menghormati dan menjiwai bendera negara serta lagu kebangsaan.

Jabatan Penerangan melahirkan harapan dengan adanya taklimat yang berterusan ini akan dapat diteruskan pada yang akan datang, dan dengan penjelasan yang lebih mendalam melalui taklimat ini, para pelajar dapat mengetahui tentang sejarah bendera dan lagu kebangsaan dengan lebih jelas kerana ia ada hubung kait dalam mata pelajaran Melayu Islam Beraja (MIB).

ARTIKEL YANG SAMA