Semai rasa cinta, hargai alam sekitar

Semai rasa cinta, hargai alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Alam sekitar yang ada perlu dijaga sebaiknya agar ia kekal terpelihara untuk manfaat generasi sekarang dan masa hadapan dengan menyemaikan rasa cinta dan sentiasa menghargainya dalam kehidupan seharian setiap diri individu dan menjadikannya sebagai satu pendidikan sepanjang hayat.

Bertepatan dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2015 yang bertemakan ‘Greening the Blue’, seluruh warga Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok dengan kerjasama Pasukan Pengakap Tunas sekolah itu telah meraikannya dengan mengadakan kempen membersihkan persekitaran sekolah berkenaan, kelmarin.

Kempen itu turut diungkayahkan bersama-sama Guru Besar, Dayang Harifah Khalijah binti Mohammad, Penolong Guru Besar, Dayang Sarimah binti Haji Mina, guru-guru, kakitangan dan para pelajar sekolah dengan penanaman beberapa jenis pokok bunga bagi mencantikkan lagi kawasan sekolah.

Usaha sebegitu adalah dihasratkan dapat memberi pendidikan dan pendedahan mengenai penjagaan alam sekitar yang juga mesti difahami oleh setiap pelajar tentang kefahaman kepentingan penjagaan alam sekitar bermula daripada diri sendiri.

Warga Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok bergambar ramai bersempena Kempen Alam Sekitar yang diadakan di sekolah berkenaan.
Warga Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok bergambar ramai bersempena Kempen Alam Sekitar yang diadakan di sekolah berkenaan.
Dayang Harifah Khalijah bersama murid-murid sekolah ketika menanam pokok.
Dayang Harifah Khalijah bersama murid-murid sekolah ketika menanam pokok.

Di samping itu, ia juga diharap dapat memberi kesempatan kepada para pelajar untuk mengenali pokok-pokok yang ditanam.

Pelbagai kegiatan telah dijalankan sepanjang sambutan berkenaan yang dimulakan dengan senamrobik, ceramah mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dan kitar semula, membersihkan seluruh kawasan sekolah, menanam pokok buah-buahan dan pokok-pokok bunga serta memberi baja pokok-pokok yang ditanam.

Sebelum itu para pelajar telah dibimbing dan diajar melalui kaedah belajar sambil melaksanakan (learning by doing) berkaitan cara-cara menggunakan peralatan seperti cangkul serta membaja.