Semai rasa cinta kepada Al-Quran

Semai rasa cinta kepada Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai 14 orang murid kelas Al-Quran Masjid Kampung Belimbing Subok diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan baru-baru ini.

Pada masjlis itu, Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan sijil dan merenjis minyak wangi kepada peserta khatam.

Majlis didahului dengan bacaan Suruh Al-Fatihah dan diikuti Takhtim manakala Doa Khatam dibacakan oleh Awang Mohd Aiman Rusyaidi bin Awang Haji Seruji yang merupakan salah seorang peserta khatam.

Majlis khatam diserikan dengan Dikir Ashrakal oleh murid Kelas Al-Quran masjid berkenaan.

Di majlis itu, Ketua Imam Masjid Kampung Belimbing, Subok, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar semasa ditemui berkata,”Majlis ini adalah untuk memupuk dan menyemai rasa cinta kepada Al-Quran, seterusnya menanam minat kepada kanak-kanak mengenai bacaan Al Quran.”

Gambar para peserta khatam dengan tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa majlis.
Gambar para peserta khatam dengan tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa majlis.
Salah seorang peserta khatam menerima sijil dan hadiah dari tetamu kehormat majlis.
Salah seorang peserta khatam menerima sijil dan hadiah dari tetamu kehormat majlis.

Ketika ditemui, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin juga menjelaskan mengenai pencapaian bacaan Al-Quran bagi murid-murid di masjid ini yang mana terdapat peningkatan dari sebelumnya.

“Ini ditambah dengan sikap guru-guru yang prihatin dan terus memberikan kerjasama erat dalam memastikan kanak-kanak yang mengikut Kelas Al-Quran ini dapat membaca Al-Quran dengan baik dan lancar”, jelasnya.

Ke arah memantapkan lagi pencapaian bacaan Al-Quran, pihak masjid telah merancang untuk melaksanakan Majlis Khatam Al-Quran ini sebagai projek tahunan sebagai pendorong kepada murid-murid berkenaan untuk mempergiatkan pembacaan Al-Quran.

Sementara untuk jangka panjang pula, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin seterusnya menambah, akan mengadakan kelas lanjutan berlagu untuk murid-murid yang telah khatam di masjid ini di masa akan datang, dalam usaha melahirkan qari dan qariah berkaliber di kalangan kanak-kanak.

Beliau seterusnya berharap dengan adanya majlis ini juga, ia akan dapat menyemai rasa untuk sentiasa bersemangat dalam membaca Al-Quran dan apa yang penting ialah membaca Al Quran merupakan satu amalan baik dan akan mendapat pahala bagi setiap pembacanya.

Menurutnya, di masjid ini terdapat tiga kategori murid iaitu Muaddam Asas diikuti Muqaddam dan seterusnya Al-Quran.

Peserta khatam terdiri daripada murid yang mengikuti Kelas Al-Quran setiap hari Jumaat di masjid berkenaan di mana mereka juga dibimbing secara bertalaqi untuk memastikan mereka khatam.

Ketua Imam Masjid Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin ketika ditemui juga menyeru ibu bapa dan penjaga yang tinggal di sekitar Kampung Belimbing agar menghantar anak-anak mereka yang berumur 6 hingga 11 tahun pada tahun 2017 untuk mengikuti Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid ini.

Majlis yang diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Belimbing Subok, Awang Norijal bin Sisa.

ARTIKEL YANG SAMA