Semai rasa takut kepada Allah

Semai rasa takut kepada Allah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Seorang hamba Allah perlu memiliki rasa takut kepada Allah S.W.T kerana dalam Al-Quran juga banyak disebutkan menanam rasa takut ini kepada Yang Maha Esa.

Jika dalam hubungan dan tanggungjawab terhadap Allah tidak ada lagi rasa takut, maka tanggungjawab kepada Allah S.W.T seperti meninggalkan ibadat sembahyang, pergaulan bebas, mendedahkan aurat dan sebagainya akan mencetuskan akibat buruk kepada umat Islam.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini, menekankan rasa takut ini dalam diri umat Islam kepada Allah S.W.T itu sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan dan perlu disemai serta ditanam dalam jiwa serta perasaan umat Islam.

Untuk menyemai perasaan takut ini, ada beberapa cara yang boleh dilakukan umat Islam, antaranya mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang diceritakan dalam Al-Quran dan hadis mengenai perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T yang dilakukan orang terdahulu dan ingkar serta tidak patuh terhadap perintahNya, baik semasa di dunia mahupun di akhirat kelak.

Menurut Khatib lagi, untuk menimbulkan rasa takut kepada Allah itu perlunya menyedari dan membayangkan betapa seksa dan pedihnya azab Allah S.W.T di akhirat hingga tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya derita yang akan ditanggung kelak.

Selain merasa bahang panas dan azab seksa neraka jahanam yang sangat dahsyat itu, orang-orang yang ingkar dan berdosa itu juga akan berada di dalamnya dalam jangka waktu yang berabad-abad lamanya malah ada yang kekal.

Khatib seterusnya menambah, jika kita berperasaan takut kepada Allah S.W.T, sudah tentu akan menggerakkan hati untuk berbuat kebaikan, mentaati perintah Allah S.W.T dan menolak segala kejahatan dan bertaubat memohon ampun kerana azab dan seksa Allah S.W.T itu amat pedih.

Menurut khatib lagi, jika berbuat kejahatan seperti mencuri, berzina, menipu dalam perniagaan, tidak jujur dalam pekerjaan dan sebagainya, kita akan berfikir panjang, tidak mudah atau segera melakukan kejahatan itu.

Ini kerana, tegas khatib, perasan takut itu akan mendorong untuk menghindari dan jika terlanjur mengikut hawa nafsu berbuat jahat, segeralah bertaubat menyesali keterlanjuran itu kerana percaya Allah S.W.T melihat apa juga yang dilakukan dan percaya setiap perbuatan dosa dan maksiat itu akan mendapat azab seksa daripada Allah S.W.T.

“Kita juga percaya akan mendapat keampunan serta pahala dengan menaruh perasaan takutkan kemurkaan Allah S.W.T dalam setiap keadaan dan tempat,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA