Semai semangat bekerjasama

Semai semangat bekerjasama

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Jan – Syarikat Megamas Sdn Bhd, dalam usahanya untuk menyuntik semangat setiakawan dan sentiasa saling bekerjasama serta suka membuat kerja-kerja berkebajikan, telah melibatkan hampir 70 orang pelajar Program Industri Kelayakkan dan Kemahiran (ISQ) dalam projek amal di Masjid Kampung Sungai Teraban di sini.

Projek amal tersebut yang diadakan selama tiga hari, berakhir hari ini, telah melibatkan kerja-kerja membaiki lampu siling dalam dan luar masjid, selain membersihkan kawasan perkarangan masjid yang mana kerja-kerja dilakukan dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Dalam temu bual Media Permata bersama Pengurus Pengendalian Material, yang juga berperanan sebagai Pengetua kepada pelajar-pelajar berkenaan, Pengiran Mohammad Azman bin Pengiran Tajuddin berkata, pelajar-pelajar yang dilibatkan merupakan pengambilan ke-4 Program ISQ di Pusat Latihan Megamas, terdiri daripada 20 orang pelajar Rigger dan 45 orang pelajar Scaffolder.

Menurutnya, pelajar-pelajar yang dilibatkan ialah mereka yang akan memulakan penempatan kerja industri tidak lama lagi, dan kerja-kerja amal yang dilakukan juga bertujuan untuk melatih mereka dengan suasana bekerja di luar daripada tempat latihan sekali gus memberikan mereka pengalaman.

“Pelajar-pelajar tersebut baru dalam bidang kerja, sekurang-kurangnya daripada melakukan kerja-kerja amal ini, umpamanya bagi pelajar bahagian rigger akan mengangkat bahan-bahan keperluan scaffolder ke tempat yang perlu untuk dipasang, manakala pelajar bahagian scaffolder pula akan memasang scaffolding untuk kegunaan membaiki kerosakan yang ditempatkan di kawasan tinggi dan tidak boleh menggunakan tangga, selain syarikat juga membawa bersama pelajar-pelajar yang berkebolehan dalam kerja-kerja membaiki lampu dan sebagainya,” katanya.

pg04_160114_a

Antara pelajar Program ISQ yang terlibat dalam Projek Kerja Amal yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait.
Antara pelajar Program ISQ yang terlibat dalam Projek Kerja Amal yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait.

Projek Kerja Amal tersebut, merupakan kali keempat dilakukan, sebelum ini, turut dilakukan di Masjid RPN Kampung Pandan, dan sejak tahun lepas mereka memfokuskan untuk melakukannya di Masjid Kampung Sungai Teraban.

Menurutnya lagi, pelajar-pelajar rigger akan mula ditempatkan di industri pekerjaan Isnin depan selama dua bulan, manakala pelajar-pelajar Scaffolder pula akan terus melanjutkan latihan mereka di Syarikat Megamas sehingga April sebelum penempatan industri selama sebulan.

Pelajar-pelajar tersebut merupakan yang telah dipilih oleh kerajaan untuk mengikuti Program ISQ, yang selain rigger dan scaffolder, juga termasuk blaster painter, welder serta baru-baru ini pemandu kenderaan berat.

Program amal itu merupakan inisiatif Syarikat Megamas dan dimasukkan ke dalam program pelajar berkenaan. Kerja-kerja berkenaan juga telah dibincangkan terlebih dahulu dengan Pusat Latihan Mekanikal seterusnya menghubungi pihak masjid untuk mendapatkan kebenaran melakukan kerja-kerja pembersihan atau pembaikan kemudahan yang rosak seperti lampu dan sebagainya.

Selain kerja amal, para pelajar latihan di syarikat itu juga akan dilibatkan dalam aktiviti pembinaan pasukan yang akan berlangsung esok melalui perlawanan futsal di Kompleks Sukan Mumong, dijangka akan melibatkan seramai 82 orang pelajar rigger, scaffolder dan pemandu kenderaan berat. Ia akan bermula daripada pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Pengiran Mohammad Azman juga menyatakan, melalui aktiviti itu akan membentuk pelajar dengan sikap saing bertukar-tukar fikiran bagaimana untuk mencapai kejayaan. Di samping itu, kalangan mereka yang belum mengenali antara satu sama lain, memberi peluang kepada mereka untuk berbincang bagi mengatur strategi bagaimana menjuarai perlawanan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA