Semai semangat kekitaan

Semai semangat kekitaan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Julai – Mengambil peluang di hari Lebaran ini, Pengetua Sekolah St James Kuala Belait, Haji Muhd Masa Masdi bin Haji Sa’idun, hari ini mengadakan rumah terbuka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama kakitangan pentadbiran serta guru-guru sekolah tersebut di kediamannya di Daerah Tutong.

Haji Muhd Masa Masdi semasa ditemui memberitahu Media Permata bahawa Majlis Rumah Terbuka bagi sekolah St.James ini adalah berasaskan silaturahim dan peluang untuk bermaaf-maafan di antara satu sama lain.

Menurutnya lagi, acara itu juga peluang terbaik untuk memantapkan perasaan “kekitaan” apatah lagi institusi sekolah sebagai indung yang mempromosikan nilai-nilai yang positif dan harmoni.

“Objektifnya adalah untuk mewujudkan rasa kekitaan dan sama-sama menyambut Hari Raya tidak kira bangsa dan agama. Perasaan kekitaan ini wajib ada di hati warga sekolah tidak kira apa jua latar belakang mereka.

Gambar ramai guru, kakitangan serta pelajar-pelajar bersama Pengetua St James semasa rumah terbuka berkenaan.
Gambar ramai guru, kakitangan serta pelajar-pelajar bersama Pengetua St James semasa rumah terbuka berkenaan.

“Acara seperti rumah terbuka ini dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan warga sekolah dan ahli keluarga masing-masing,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, peluang seperti ini bukan sahaja untuk mengeratkan tali silaturahim tetapi menambahkan lagi rasa hormat-menghormati, kenal-mengenali di antara satu sama lain, yang mana, nilai-nilai tersebut sangat dituntut oleh institusi masyarakat ketika ini.

Haji Masa Masdi juga percaya memandangkan Sekolah St.James sebuah institusi pendidikan yang telah lama wujud, maka rasa kekitaan dan harmoni itu sudah wujud sejak ia ditubuhkan, bagaimanapun melalui acara-acara seperti rumah terbuka, menjadi peluang dan ruang yang terbaik untuk memantapkan nilai-nilai yang positif dan konstruktif.

ARTIKEL YANG SAMA