Semai semangat kesukarelawanan

Semai semangat kesukarelawanan

Oleh Anwar Rosly & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

KUALA BELAIT, 10 Jan – Daerah Belait tidak ketinggalan dalam mendukung program ‘Day of Action’ (D.O.A) yang diadakan secara besar-besaran di keempat-empat daerah hari ini, dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan Belait, dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait (JDB).

Kira-kira 100 orang dari Kumpulan Sukarelawan Daerah Belait yang terdiri daripada kakitangan JBS cawangan Kuala Belait dan JDB bersama ahli-ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait, Kelab Kumpulan Pemilik Skuter Daerah Belait, Persatuan KEMAS, Majlis Belia Daerah Belait dan Kor Sukarelawan Profesional Muda ASEAN (AYPVC), serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Merangking dan beberapa buah agensi kerajaan lain, telah mengendalikan kerja-kerja kemasyarakatan membersihkan dan membaik pulih rumah anak-anak yatim piatu Jalan Singap, Kampung Merangking, Mukim Bukit Sawat.

Rumah ini merupakan rumah bantuan yang telah diwarisi oleh anak-anak Allahyarham Shanang bin Fikir dan isterinya, Allahyarhamah Nursyasya Ardini binti Mohd Sadin.

Kerja-kerja tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu kerja memotong rumput, membersihkan luar dan dalam rumah, mengganti cermin dan jendela dan mengecat kawasan dalam rumah.

Menurut jurucakap dari JDB, kerja-kerja kemasyarakatan melalui program D.O.A ini adalah diharapkan akan dapat menarik lebih ramai penyertaan terutamanya dalam kalangan belia serta mengembangkan program atau aktiviti sukarelawan dalam kalangan masyarakat Brunei serta dapat menjalinkan ikatan antara agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan serta para sukarelawan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di Negara Brunei Darussalam.

Antara yang terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan yang diadakan di Kampung Sumbiling Lama, Temburong.
Antara yang terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan yang diadakan di Kampung Sumbiling Lama, Temburong.

pg04_160111_e

Dengan sokongan pihak JDB baru-baru ini, sebuah kumpulan sukarelawan bagi Daerah Belait telah ditubuhkan bagi mengendalikan dan mencari sukarelawan-sukarelawan daripada persatuan dan badan bukan kerajaan di daerah ini bagi melibatkan mereka dan orang ramai dalam projek serta aktiviti kemasyarakatan untuk membantu pihak berwajib dalam kerja bergotong-royong dan sebagainya.

Kegiatan sukarelawan hari ini juga diharap tidak akan hanya tertumpu kepada program D.O.A ini yang disempenakan bagi menyambut Hari Sukarelawan malah akan juga menumpukan kepada kerja-kerja amal lainnya di daerah ini.

Sementara itu di Daerah Temburong, para sukarelawan di daerah itu turut menyambut baik kempen berkenaan dengan membaiki halaman rumah warga emas di Kampung Sumbiling Lama.

Majlis perasmiannya kempen di daerah ini telah diadakan secara sederhana oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad.

Menyedari hakikat melakukan sesuatu yang berkebajikan melalui kerja-kerja kemasyarakatan, sebuah badan pelancongan Sumbiling Eco Village, yang merupakan anak syarikat Borneo Guide yang berpangkalan di daerah ini, telah mengambil sikap pro aktif dengan menyediakan beberapa kemudahan prasarana bagi menjayakan projek berkenaan.

Turut menjayakan program D.O.A tersebut ialah beberapa orang sukarelawan dari JBS cawangan Daerah Temburong dan JBS Bandar Seri Begawan.

Pengurus Sumbiling Eco Village menjelaskan, program yang disertai ini merupakan aktiviti sosial mereka dalam sama-sama menangani beberapa kesulitan para penduduk berdekatan dengan pangkalan operasi mereka di Kampung Sumbiling Lama.

Menurutnya lagi, biarpun sumbangan yang diberikan agak kecil namun diharapkan dapat membantu meringankan beban para penduduk di situ. Pelbagai acara kebajikan akan terus diadakan di masa-masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA