Semai semangat keusahawanan belia

Semai semangat keusahawanan belia

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Dalam menyahut seruan titah Baginda Sultan ke arah penglibatan belia dalam bidang keusahawanan dan menyemai semangat serta kemahiran keusahawanan, Politeknik Brunei melancarkan Bengkel Keusahawanan Brunei: Belia Berinovasi yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Pelancaran bengkel telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Noraiini binti Haji Sulaiman selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di One Stop Centre, Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping, dengan diiringi oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

Bengkel Belia Berinovasi yang pertama kali diadakan ini dianjurkan oleh Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif (CiTL), Politeknik Brunei, Dr Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid selaku pengurus projek bengkel berkenaan.

Ia menumpukan kepada para peserta dari beberapa peringkat pendidikan iaitu diploma, menengah dan rendah, yang mana, seramai 180 orang pelajar dari Politeknik Brunei, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Sekolah Rendah Mabohai dan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menyertainya.

Awang Alias dalam ucapannya menjelaskan, projek ini akan berjalan melalui bengkel interaktif dan menyeronokkan yang mengambil masa empat jam bagi setiap sesi. Sesi tersebut akan dijalankan melalui enam putaran bagi enam kumpulan.

Hajah Noraiini melancarkan bengkel berkenaan.
Hajah Noraiini melancarkan bengkel berkenaan.
Sesi bergambar ramai pada majlis pelancaran bengkel selama empat hari itu.
Sesi bergambar ramai pada majlis pelancaran bengkel selama empat hari itu.

pg05_160405_b

Ia akan diakhiri dengan sesi kongsi sama pada hari keempat sebagai hari maklum balas di antara pelatih bengkel dan organisasi relevan.

Beliau dalam ucapannya turut menyampaikan penghargaan terhadap Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang telah bekerjasama menjayakan projek pertama Bengkel Belia Inovasi ini untuk memberi harapan dalam memberikan jalan kepada pelajar Politeknik Brunei.

Bengkel interaktif itu dikendalikan oleh Mohammaed Arshed Butt selaku pakar perusahaan yang telah menyampaikan pelbagai program keusahawanan di pelbagai acara. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Solomon Ash Ltd, iaitu syarikat pakar dalam pembangunan perniagaan dan kemasyarakatan di United Kingdom yang mempelawa pengusaha, merangsang pembangunan perniagaan, dan meningkatkan standard kepimpinan serta pengurusan dalam sesebuah organisasi bagi kemakmuran sosial dan ekonomi.

Dr Malai Zeiti semasa ditemu bual berkata, dengan bimbingan dan didikan pakar Mohammed Arshed, bengkel inovatif seperti ini diharap akan membuka minda para peserta untuk mempunyai kemahiran berfikir dari luar jangkaan atau \ʼthinking outside the box’ serta untuk mengasah kreativiti masing-masing.

Menurutnya, bengkel ini juga berobjektif untuk membina kemahiran para peserta dalam mencungkil bakat mereka untuk berani tampil membuka perusahaan masing-masing pada masa hadapan serta untuk mengasah ciri-ciri kepimpinan belia yang berwawasan.

Dr Malai Zeiti berkata bahawa bengkel inovatif sedemikian diharap akan membuka minda para peserta untuk mempunyai kemahiran berfikir dari luar jangkaan.
Dr Malai Zeiti berkata bahawa bengkel inovatif sedemikian diharap akan membuka minda para peserta untuk mempunyai kemahiran berfikir dari luar jangkaan.

Dalam program bengkel berkenaan, ujar beliau, Mohammed Arshed juga akan menyentuh mengenai kewangan Islam dan cabaran yang dihadapi semasa dunia dalam kegawatan ekonomi dan tatacara untuk menjadi seorang peniaga yang berhemah tinggi dan berlandaskan ajaran Islam.

“Sebaik saja bengkel ini selesai nanti, para peserta akan dijadikan sebagai sebahagian daripada kumpulan penyelidikan kami,” ujarnya sambil menambah, mereka ingin berhubung dengan para peserta dan meneruskan perbincangan dengan mereka serta menjejaki kemajuan mereka dalam melakukan perusahaan mereka sendiri pada masa hadapan.

“Mereka ini akan turut dipantau dari segi perkembangan mereka oleh Mohammed Arshed, Insya-Allah melalui pelbagai cara yang inovatif dan contohnya melalui hubungan video conferencing, Skype dan kaedah-kaedah teknologi yang canggih masa ini,” tambahnya lagi.

Dalam bengkel itu, para peserta akan diajar mengenai halangan-halangan memulakan perniagaan dan cara mengatasinya. Ini termasuk faedah memulakan perusahaan, ciri-ciri keusahawanan, produk atau perkhidmatan, inovasi, penyelidikan pasaran dan persediaan dalam perniagaan.

Dalam aktiviti terakhir nanti para peserta akan bersaing dalam pertandingan yang membabitkan setiap kumpulan untuk menjana produk berinovatif atau buah fikiran dan membentangkannya kepada keseluruhan kumpulan. Pemenang peraduan itu nanti akan memenangi hadiah dan sijil.

Selain daripada bengkel ini, Bengkel Perusahaan Khas juga akan diadakan pada 7 April ini, yang dibukakan kepada orang ramai. Mereka yang berminat, boleh menghubungi Dr Malai Zeiti di talian 8760469.

ARTIKEL YANG SAMA