Semai semangat patriotik

Semai semangat patriotik

Oleh Zainudin bin Haji Ishak

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Dalam usaha untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan ahli-ahli pengakap, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) turut mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32.

Lebih 200 orang ahli PPNBD terdiri daripada pesuruhjaya, para pegawai, pemimpin pasukan, penolong pemimpin pasukan, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Laut, Pengakap Udara dan Pengakap Kelana menghadiri upacara yang diadakan di perkarangan Bangunan Ibu Pejabat PPNBD di Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Hassan. Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin POKRS DP Haji Abdul Hapidz serta setiausaha agung PPNBD.

Ahli Pengakap menaikkan bendera kebangsaan di acara itu.
Ahli Pengakap menaikkan bendera kebangsaan di acara itu.
Penyerahan bendera kebangsaan kepada pemimpin pasukan pengakap.
Penyerahan bendera kebangsaan kepada pemimpin pasukan pengakap.

Pada majlis berkenaan, Pengiran Wahab menyerahkan bendera kebangsaan kepada pemimpin pasukan pengakap untuk dinaikan oleh ahli Pengakap Kelana dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ beramai-ramai.

Acara yang diadakan setiap tahun ini merupakan tanda penghormatan PPNBD kepada bendera negara bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan ahli-ahli pengakap serta mengukuhkan taat setia kepada agama, pemerintah dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA