Semai semangat patriotik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Dalam usaha berterusan untuk menyemai semangat patriotik dalam diri para pelajarnya, Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Kluster 4 tidak ketinggalan untuk mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-33 tahun di perkarangan sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Acara sambutan itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan Doa Kesyukuran sempena Hari Kebangsaan ke-33 tahun yang diketuai oleh Haji Saifullizan bin Haji Abdullah dan seterusnya menyaksikan acara menaikkan bendera kebangsaan sambil menyanyikan lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’ secara beramai-ramai.

Majlis sambutan diserikan lagi dengan nyanyian dua buah lagu patriotik beramai-ramai sambil mengibarkan bendera kecil negara.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Ikrar Hari Kebangsaan yang diketuai oleh pelajar Tahun 6A, Awang Mohammad Ammar bin Shahminan.

Gambar ramai warga SR Orang Kaya Besar Imas semasa meraikan Hari Kebangsaan.
Gambar ramai warga SR Orang Kaya Besar Imas semasa meraikan Hari Kebangsaan.
Bacaan Ikrar Hari Kebangsaan oleh Awang Mohammad Ammar.
Bacaan Ikrar Hari Kebangsaan oleh Awang Mohammad Ammar.

Majlis juga menyaksikan pelbagai kegiatan untuk memeriahkan lagi acara sambutan termasuk peraduan kuiz mengenai Hari Kebangsaan ke-33 dan Pertandingan Pakaian Patriotik Terbaik.

Acara dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bagi kegiatan peraduan kuiz dan pertandingan pakaian patriotik yang telah disempurnakan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Dayang Sarimah binti Haji Mina.

Acara sambutan berakhir dengan guru-guru bergambar ramai dengan pelajar-pelajar sambil membuat formasi berbentuk ‘HK33’.