Semai semangat patriotik kalangan pelajar

Semai semangat patriotik kalangan pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegeraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat dalam menghayati lagu kebangsaan dan bendera negara yang berlangsung di Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 147 orang pelajar Tahun 8 bersama para guru, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan itu, taklimat ‘Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara Brunei Darussalam’ telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Penerangan, Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Pengiran Arsul bin Pengiran Haji Abdul Momin.

Dalam taklimat itu, Pengiran Arsul menjelaskan dengan terperinci mengenai sejarah bendera negara dan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan.

Beliau juga menjelaskan definisi, peranan, sejarah bendera dan lagu kebangsaan bagi mengukuhkan rasa cinta kepada bangsa, agama, raja dan negara.

Majlis juga menyaksikan tayangan klip video mengenai bendera negara terbitan Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, sesi kuiz Kenegaraan dan penyampaian cenderahati kepada Penolong Pengetua SM Chung Hwa, Dayang Tan Been Tiem.

Di Daerah Brunei dan Muara setakat ini, taklimat kenegaraan telah diadakan di 10 buah sekolah termasuk di SM Chung Hwa.

Program itu juga diadakan bagi mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri pelajar supaya menjadi warganegara yang berwawasan dan mempunyai kesedaran untuk hidup berbangsa, beragama dan bernegara.

ARTIKEL YANG SAMA