Semai semangat patriotik pelajar

Semai semangat patriotik pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Bendera adalah lambang identiti sesebuah negara dan sesuatu bangsa, lambang kesepakatan dan perpaduan sesebuah bangsa yang mempunyai kemuliaan, keagungan dan martabat tersendiri yang perlu mendapat pengiktirafan dan penghormatan oleh setiap bangsa dan negara-negara di dunia.

Dalam menanam semangat patriotik dan cintakan negara kepada golongan muda khususnya dengan menyanyikan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan dan menaikkibarkan bendera Negara Brunei Darussalam, para pelajar perlu diberikan pendidikan ke arah menimbulkan semangat kenegaraan dan kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, mengadakan Program Taklimat Kenegaraan, mengenai peranan dan tangungjawab rakyat dalam menghayati lagu kebangsaan dan bendera negara, bagi maktab-maktab dan sekolah-sekolah menengah kerajaan seluruh negara yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Program taklimat itu dihadiri oleh lebih 100 pelajar Pusat Tingkatan Enam Meragang bagi menyemai perasaan cintakan bangsa, agama, raja dan negara.

Program itu merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme pelajar-pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Haji Dayang semasa menyampaikan taklimatnya.
Haji Dayang semasa menyampaikan taklimatnya.
Para pelajar memberikan perhatian kepada taklimat interaktif yang diberikan.
Para pelajar memberikan perhatian kepada taklimat interaktif yang diberikan.

Di majlis berkenaan, taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Haji Dayang bin Haji Kasim yang mana beliau menjelaskan dengan terperinci mengenai sejarah bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan negara juga menjelaskan definisi, peranan dan mengenai sejarahnya.

Terdahulu sebelum sesi taklimat berkenaan, majlis dimulakan dengan nyanyian beramai-ramai lagu kebangsaan dan lagu patriotik, Bendera Negara. Majlis juga menyaksikan tayangan klip video mengenai bendera negara terbitan Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri serta sesi kuiz kenegaraan.

Program itu juga dihasratkan untuk menyemai perasaan cintakan bangsa, agama, raja dan negara di samping mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para pelajar melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.

Program turut bermatlamat untuk mengoptimumkan penghayatan dan pemahaman terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara ke arah kesedaran hidup berbangsa, bernegara, beragama yang berdasarkan falsafah negara, Melayu Islam Beraja, serta memapankan usaha-usaha yang telah sedia ada dalam menggalakkan para pelajar untuk menghormati dan menjiwai bendera negara dan lagu kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA