Semai semangat patriotik

Semai semangat patriotik

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Sept – Jabatan Penerangan dan Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait meneruskan inisiatif ke arah membentuk generasi muda terutama para pelajar untuk menjadi seorang patriotik dan pemimpin negara dengan mengadakan Taklimat Kenegaraan.

Taklimat ‘Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan’ diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina Ali bagi

menerangkan peranan dan tanggungjawab dalam menghayati bendera negara dan lagu kebangsaan yang merupakan identiti serta lambang sesebuah negara yang semestinya dijaga dan dipelihara.

Pelajar-pelajar sekolah berkenaan mengibarkan bendera sebagai tanda semangat patriotik dalam menghayati bendera dan lagu kebangsaan negara.
Pelajar-pelajar sekolah berkenaan mengibarkan bendera sebagai tanda semangat patriotik dalam menghayati bendera dan lagu kebangsaan negara.

Penolong Pegawai Penerangan Cawangan Belait, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar dalam taklimatnya kepada 230 orang pelajar Tahun 8 dan 9 di Dewan Serba Guna sekolah itu, antara lain menekankan peranan bendera yang mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk di samping menyemai perasaan cintakan raja, bangsa, agama dan negara.

Bendera Negara Brunei Darussalam lazimnya dinaikkan pada hari-hari tertentu seperti Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan atau hari-hari istiadat yang besar. Bendera dan lagu kebangsaan dapat menyemarakkan lagi semangat kenegaraan dan kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara terutamanya bagi para pelajar sebagai pendidikan awal kenegaraan yang lebih berkesan, katanya.