Semai semangat patriotisme kalangan pelajar

Semai semangat patriotisme kalangan pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Seramai 421 orang penuntut Tahun 7 dan 8 Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Lambak Kanan mendengarkan taklimat kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Taklimat anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu antara lain bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan penuntut untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Pada taklimat itu, Penolong Pegawai Penerangan, Pengiran Haji Zahari bin Pengiran Adi menyampaikan taklimat yang antara lain menyentuh tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan negara ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan lebih terperinci lagi.

Salah seorang pegawai Jabatan Penerangan menyampaikan taklimat di majlis itu.
Salah seorang pegawai Jabatan Penerangan menyampaikan taklimat di majlis itu.

Di samping mendengarkan taklimat, para penuntut juga berpeluang menyaksikan tayangan klip video yang bertajuk ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ seterusnya menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Pengiran Emran bin Pengiran Haji Salleh.

Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan yang disampaikan oleh Pengetua sekolah, Sia Ai Chin.

ARTIKEL YANG SAMA