Semai semangat patriotisme pada diri pelajar

Semai semangat patriotisme pada diri pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Dalam usaha berterusan Jabatan Penerangan untuk menyemai semangat patriotisme dalam diri pelajar agar menghormati bendera negara serta menjiwai lagu kebangsaan, Jabatan Penerangan meneruskan lagi Taklimat Kenegaraan, dan kali ini, ia diadakan di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA).

Lebih 225 orang pelajar Tahun 8 sekolah berkenaan menghadiri taklimat ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ yang diadakan di dewan sekolah tersebut. Turut hadir ialah timbalan pengetua dan guru-guru kanan SMJA.

Hadir bagi menyampaikan taklimat ialah Pegawai Penerangan, Hajah Noriah binti Haji Amit yang antara lainmenyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan menerangkan secara terperinci sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Hajah Noriah semasa menyampaikan taklimat.
Hajah Noriah semasa menyampaikan taklimat.
Para pelajar yang hadir bagi mendengarkan taklimat kenegaraan pagi tadi.
Para pelajar yang hadir bagi mendengarkan taklimat kenegaraan pagi tadi.

Pada taklimat tersebut juga, para pelajar berpeluang menyaksikan video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan menyertai Kuiz Kenegaraan.

Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan tersebut dan seterusnya penyampaian cenderamata kepada Pengetua SMJA, Haji Juma’ata Sonadey bin Haji Mornie.

Antara lain tujuan taklimat anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu adalah untuk mengoptimumkan penghayatan serta pemahaman terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara ke arah kesedaran hidup berbangsa, bernegara, beragama berdasarkan falsafah negara Melayu Islam Beraja.

ARTIKEL YANG SAMA