Semai semangat patriotisme pelajar

Semai semangat patriotisme pelajar

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 9 Nov – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri meneruskan lagi Taklimat Kenegaraan bagi ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ dengan kali ini mengadakannya di Dewan Sekolah Persediaan Arab Temburong, baru-baru ini.

Taklimat yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong itu telah dihadiri oleh seramai 105 pelajar dan 17 guru yang diketuai guru besar sekolah berkenaan.

Ketua Penerangan Cawangan Daerah Temburong, Pengiran Ikram bin Pengiran Haji Ahmad dalam taklimatnya antara lain menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ secara terperinci.

Katanya bendera yang dinaikkan atau dikibarkan mestilah dalam keadaan baik dan sempurna iaitu tidak koyak, tidak luntur atau pudar warnanya serta dipasang di tempat yang sesuai mengikut keadaan tempat.

Pengiran Ikram menjelaskan lagi, memartabatkan bendera merupakan lambang kesepakatan dan perpaduan yang mempunyai kemuliaan, keagungan dan martabatnya yang tersendiri yang perlu mendapat pengiktirafan serta penghormatan oleh setiap bangsa dan negara di dunia.

Pengiran Ikram ketika menyampaikan bahan-bahan terbitan jabatan kepada salah seorang guru sekolah berkenaan.
Pengiran Ikram ketika menyampaikan bahan-bahan terbitan jabatan kepada salah seorang guru sekolah berkenaan.
Pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong bergambar ramai bersama warga Sekolah Persediaan Arab Temburong.
Pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong bergambar ramai bersama warga Sekolah Persediaan Arab Temburong.

Program yang diungkayahkan ini adalah salah satu usaha berterusan jabatan berkenaan dalam meningkatkan kefahaman dan menyemai semangat patriotisme para pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Pada taklimat itu, para pelajar dan tenaga pengajar sekolah berkenaan juga berpeluang menyaksikan tayangan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’ dan seterusnya menyertai Kuiz Kenegaraan.

Sesi taklimat pagi dan petang itu kemudian diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh Pengiran Ikram kepada pelajar yang berjaya menjawab soalan kuiz.

Program seumpamanya juga akan dirancang untuk dilaratkan ke seluruh sekolah-sekolah menengah, sekolah rendah pedalaman, institusi mukim dan kampung serta persatuan-persatuan di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA