Semai semanga...

Semai semangat patriotisme penuntut SM Masin

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, semalam, telah mengadakan Taklimat Kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ bagi penuntut-penuntut Tahun 7, Sekolah Menengah (SM) Masin yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Kira-kira 145 orang penuntut Tahun 7 sekolah tersebut hadir mendengarkan taklimat berkenaan yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengetua, Dayang Shahidah Khairena binti Haji Sharbini dan guru-guru.

Taklimat disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Noriah binti Haji Abdul Hamid yang antara lain menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Selain mendengarkan taklimat, para penuntut juga berkesempatan menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ serta berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan.

Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme para penuntut untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

ARTIKEL YANG SAMA