Semai semangat patriotisme

Semai semangat patriotisme

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seramai 188 orang pelajar Tahun 4, 5 dan 6 sesi petang Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS) hari ini, telah menghadiri Taklimat Kenegaraan ‘Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan’ yang diadakan di sekolah tersebut, di sini.

Taklimat berkenaan merupakan program yang dikendalikan oleh Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri.

Hadir bagi menyampaikan taklimat ialah Pegawai Penerangan, Haji Dayang bin Haji Kasim, yang antara lain menyentuh mengenai bendera yang berperanan bagi menanamkan semangat patriotisme dan nasionalisme, menyemarakkan hari-hari kebesaran negara, mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk, menyemai perasaan mencintai bangsa, agama, raja dan negara, serta mendukung falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB).

Taklimat itu diadakan bertujuan untuk memberikan pengetahuan serta menyemai semangat patriotisme dalam diri para pelajar dalam menghormati bendera negara dan menjiwai lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Haji Dayang ketika menyampaikan taklimat tersebut di Sekolah Seri Mulia Sarjana.
Haji Dayang ketika menyampaikan taklimat tersebut di Sekolah Seri Mulia Sarjana.
Para pelajar yang terdiri dari Tahun 4, 5 dan 6 sesi petang yang menghadiri taklimat tersebut.
Para pelajar yang terdiri dari Tahun 4, 5 dan 6 sesi petang yang menghadiri taklimat tersebut.

Haji Dayang pada taklimat tersebut menekankan mengenai waktu yang dikehendaki untuk menaikkan bendera iaitu pada hari-hari tertentu seperti Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan atau hari-hari istiadat yang besar yang mana orang ramai hanya mengibarkan bendera pada hari-hari tertentu seperti yang diarahkan dan diumumkan melalui Radio dan Televisyen Brunei serta akhbar-akhbar.

Di samping itu, menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan menaikkibarkan bendera Negara Brunei Darussalam merupakan antara pendidikan awal para pelajar ke arah menimbulkan semangat kenegaraan serta kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara.

Beliau turut menambah, bendera juga merupakan lambang identiti sesebuah negara dan bangsa, di samping merupakan lambang perpaduan serta kesepakatan yang mempunyai kemuliaan, keagungan dan kemartabatan yang perlu mendapat pengiktirafan dan penghormatan oleh bangsa dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA