Semai sifat bantu membantu dalam masyarakat

Semai sifat bantu membantu dalam masyarakat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Seramai 30 orang mahasiswa jurusan Perundangan dan Syariah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai kempen kebersihan di Learning Ladders, Gadong, hari ini. Kempen anjuran UNISSA berkenaan bersempena penubuhan Persatuan Siswazah Syariah dan Undang-Undang (ShaLawSoc) yang telah ditubuhkan baru-baru ini.

Dalam tinjauan media semasa kempen tersebut, mahasiswa dan mahasiswi tidak melepaskan peluang membantu warga Learning Ladders membersihkan kawasan bangunan tersebut dalam usaha memberi keselesaan kepada warga di sana.

Sekretariat Unit Sosial dan Kebajikan ShaLawSoc, Dayang Najihah binti Haji Ali semasa ditemu bual menjelaskan, kempen kebersihan ini merupakan sebahagian daripada projek kemasyarakatan dalam usaha menyatukan ahli-ahli untuk bekerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Ini juga merupakan salah satu cara memberi galakan yang bukan saja di kalangan ahli tapi orang awam dalam menanamkan sifat bantu membantu orang yang memerlukan,” jelasnya.

Gambar ramai bersama mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat semasa kempen kebersihan itu diadakan.
Gambar ramai bersama mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat semasa kempen kebersihan itu diadakan.

Beliau seterusnya menambah, setelah mengadakan beberapa kunjungan ke Learning Ladders pada tahun ini, timbul perasaan ingin memberi kesedaran mengenai autisme kepada yang lain.

Dengan projek seumpama ini, jelasnya, ia akan membawa kebaikan bukan saja kepada Learning Ladders tapi juga kepada persekitaran. Sementara itu, Learning Ladders melahirkan rasa penghargaan kepada pelajar dalam projek ini atas kerja keras dan keikhlasan termasuk berdedikasi dalam menjadikan premis berkenaan bersih dan cantik.

Melihat kepada usaha dan inisiatif yang diberikan oleh pelajar UNISSA ini, Learning Ladders mengalu-alukan individu, persatuan masyarakat atau pertubuhan yang sudi untuk memberi bantuan dengan melayari Instragram di @learningladders.autism atau laman sesawang di learningladderssociety.weebly.com.

ARTIKEL YANG SAMA