Semai sifat bertanggungjawab

Semai sifat bertanggungjawab

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Dalam usaha untuk berkongsi maklumat dan masalah yang dihadapi di peringkat mukim dan kampung, Sesi Perjumpaan dan Muzakarah bagi Zon 4 Daerah Brunei dan Muara telah diadakan di Tingkat 4, Bilik Persidangan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini, hari ini.

Hadir mempengerusikan sesi tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim, yang juga selaku Ketua Kampung Putat.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, para penghulu dan ketua-ketua kampung kawasan Zon 4, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta pegawai-pegawai Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Yang Berhormat Haji Jumat dalam ucapannya menjelaskan bahawa melalui majlis ini, para peserta telah dapat menanamkan rasa dan tanggungjawab terhadap tugas yang dipikul selaku pemimpin masyarakat akar umbi.

“Dalam usaha membantu pihak kerajaan untuk memajukan mukim dan kampung yang kita wakili. Kita sama-sama menyedari bahawa keadaan ekonomi dunia agak perlahan dan sebahagian negara di dunia ini mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Awang Misle ketika menghadiri muzakarah tersebut.
Awang Misle ketika menghadiri muzakarah tersebut.
Yang Berhormat Haji Jumat semasa menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Haji Jumat semasa menyampaikan ucapan.
Antara yang menyertai sesi perjumpaan tersebut.
Antara yang menyertai sesi perjumpaan tersebut.

“Kita di Negara Brunei Darussalam amat beruntung di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hidup aman dan makmur dan dapat menjalankan kegiatan perekonomian serta kehidupan yang selesa dan meneruskan projek pembangunan negara untuk kebajikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam,” tekan beliau.

Antara isu yang dibangkitkan semasa sesi perjumpaan itu ialah sokongan terhadap reformasi yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, di mana Baginda antara lain bertitah “Gandakan usaha serta tingkatkan ekonomi dengan mempelbagaikan sektor ekonomi negara”, isu perekonomian penduduk kampung dan mukim yang boleh membantu dan menjana pendapatan yang lumayan serta boleh bertahan lama.

Selain itu, isu kemiskinan dan masalah sosial, isu alam sekitar, bencana alam dan kesannya, pengangguran dan peluang pekerjaan, memerangi penyeludupan dan isu keselamatan kampung turut diberi perhatian semasa sesi perjumpaan tersebut.