Semai sikap cintakan Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Pertandingan Menghafaz Al-Quran Surah-surah Pilihan berserta Pemahaman sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun bagi tahun 1438H/2017M peringkat Daerah Brunei dan Muara diteruskan lagi hari ini, bagi Kategori A Kanak-kanak Lelaki dan Kategori B Kanak-kanak Perempuan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu dihadiri oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah para pemenang.

Johan Kategori A bagi Kanak-kanak Lelaki ialah Awang Ahmad Huzaifah bin Haji Awang Hasbi, Kategori B bagi Kanak-kanak Perempuan dijuarai oleh Dayang Nur Kamaliah binti Haji Jahari, Kategori C – Remaja Lelaki oleh Awang Mohammad Raffi bin Duming dan Kategori D – Remaja Perempuan oleh Dayang Nursa’adat Afifah @ Siti Nanada binti Mohamad.

Manakala itu, johan Kategori E dan F bagi Dewasa Lelaki dan Perempuan masing-masing disandang oleh Haji Mohd Yussof bin Haji Tengah dan Dayang Noriah binti Tuah.

Tetamu kehormat majlis yang hadir pada Pertandingan Menghafaz Al-Quran Surah-surah Pilihan berserta Pemahamannya.
Tetamu kehormat majlis yang hadir pada Pertandingan Menghafaz Al-Quran Surah-surah Pilihan berserta Pemahamannya.
Antara para peserta yang menyertai pertandingan itu.
Antara para peserta yang menyertai pertandingan itu.

Pertandingan ini dikendalikan bersama oleh Majlis Perundingan Mukim Kilanas dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Ia bertujuan untuk menanamkan sikap cinta kepada Al-Quran di samping menjadikan bacaan Al-Quran sebagai amalan harian mereka lebih-lebih kepada para belia dengan memahami isi dan tafsiran yang terkandung.

Selain itu juga untuk mendukung hasrat negara untuk menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.